Isnin, 14 September 2015 | 5:42pm

Jerebu semakin membimbangkan, hanya Sandakan baik


SEBAHAGIAN daripada murid Sekolah Kebangsaan Presint 8(1), Putrajaya memakai topeng muka semasa pulang dari sekolah dalam keadaan berjerebu pada jam 2.00 petang dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 156 iaitu tahap tidak sihat. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di seluruh negara semakin membimbangkan apabila hanya Sandakan, Sabah mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik iaitu 49 sementara di kawasan lain di kebanyakan negeri menunjukkan bacaan tidak sihat setakat jam 4 petang ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), Banting, Selangor merekodkan bacaan IPU tidak sihat tertinggi iaitu 176 diikuti Nilai, Negeri Sembilan (175).

Kawasan lain di Selangor yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah Pelabuhan Klang (174), Shah Alam (156), Petaling Jaya (153) dan Kuala Selangor.

Kualiti udara di ibu negara juga semakin teruk apabila merekodkan bacaan tidak sihat di Batu Muda (169) dan sekitar Cheras (155) manakala pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya merekodkan IPU 159.

Sementara di Sarawak, tiga kawasan mencatat IPU tidak sihat iaitu Sri Aman (138), Sarikei (123) dan Samarahan (104) .

Bagi Negeri Sembilan, Seremban (170) dan Port Dickson (167). Di Melaka, Bukit Rambai (169) serta Bandaraya Melaka (151).

Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Kemaman, Terengganu (130), Paka (106), Seri Manjung (171), SK Jalan Pegoh (Ipoh) (154) dan Jalan Tasek (Ipoh) (145) serta Taiping (131) di Perak.

Di Johor, IPU tidak sihat direkodkan di Muar (132) dan Larkin Lama (103) manakala di Pahang, di Balok Baru, Kuantan (126) dan Jerantut (117) dan Indera Mahkota, Kuantan (107).

Di Pulau Pinang membabitkan kawasan Seberang Jaya 2, Perai (138) , USM (137) dan Perai (115).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Berita Harian X