Isnin, 14 September 2015 | 12:07am
JASSEICA (kanan) mula menjual minuman jeli sejak 2010. - Foto Muhd Asyraf Sawal
JASSEICA (kiri) memantau operasi pekerjanya. - Foto Muhd Asyraf Sawal
JASSEICA menunjukkan produknya keluaran syarikatnya. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Miwa penuhi cita rasa peminat minuman jeli


DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan, itulah pepatah sesuai yang boleh menggambarkan perjalanan Fara Jasseica Mohd Rashid dalam menceburi bidang perniagaan.

  Daripada hanya menjual minuman campuran ais atau "ice blended" dengan menggunakan van bergerak, kini usahawan muda yang bersemangat tinggi itu mempunyai syarikat sendiri mengeluarkan produk minuman jeli buatan tempatan di bawah jenama Miwa.

  Beliau berkata, idea untuk mengeluarkan produk minuman jeli itu dicetuskan secara bersama dengan kakaknya menerusi inspirasi daripada produk yang dijual di luar negara.

  "Pada mulanya, saya ingin membuat produk minuman sedia untuk diminum. Namun, memandangkan bukan mudah untuk bersaing dengan jenama besar sedia ada di pasaran, saya membatalkan hasrat itu.

  "Dengan berjalan-berjalan di luar negara dan melihat produk yang dijual di sana (luar negara), memberi inspirasi kepada kami untuk menjual produk dua dalam satu iaitu jeli dan minuman.

  "Lagipun, saya suka inovasi dan saya mendapati belum ada lagi pengeluar Bumiputera menghasilkan produk minuman jeli ini," katanya kepada BH ketika ditemui di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

JASSEICA (kiri) bersama pekerjanya di Desa Coalfields, Sungai Buloh. - Foto Muhd Asyraf Sawal

  Idea untuk mengeluarkan produk itu juga didorong oleh usahanya untuk mencari perniagaan yang boleh menjana pendapatan yang stabil dan mempunyai produk yang tahan lama.

  Fara Jasseica berkata, memang tidak dinafikan berniaga "ice blended" menguntungkan, namun ia mempunyai cabarannya yang tersendiri seperti keadaan cuaca.

  "Dari segi jualan, hanya berniaga di pasar tani dan di acara tertentu mampu mendapat jualan yang tinggi. Bagaimanapun, pada hari biasa, jualan tidak konsisten, malah pernah suatu hari saya hanya mendapat jualan berjumlah RM70.

  "Keadaan ini menjadi pendorong untuk mengeluarkan produk yang lebih stabil dari segi penjanaan pendapatan," katanya.

  Fara Jasseica berkata, beliau mula menjual produk minuman jeli pada 2010 selepas menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama setahun.

  Beliau juga mendapat tunjuk ajar dan nasihat daripada pakar dan mentor dalam membangunkan produk minuman jeli.

  "Kami mula memasarkan produk minuman jeli pada awal 2010 di sekolah dan kedai runcit. Alhamdulillah, permintaan sangat memberangsangkan, malah permintaan kami sentiasa melebihi pengeluaran," katanya.

  Dari segi modal permulaan perniagaan, Fara Jasseica berkata, beliau tidak menghadapi kesukaran untuk memperoleh modal kerana bantuan daripada keluarga.

  Beliau memulakan perniagaan dengan modal suntikan daripada ibu bapa serta wang simpanannya kira-kira RM65,000.

  Baginya, cabaran yang paling sukar untuk berniaga ialah pemasaran dan modal untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat selanjutnya.

  Bagaimanapun, beliau beruntung kerana dengan bantuan dana daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) yang membolehkannya mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.

JASSEICA (kiri) membantu pekerjanya memasukkan minuman jeli untuk dipasarkan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

  Melangkah ke hadapan, Fara Jasseica berkata, beliau bercadang untuk mempertingkatkan dan mencantikkan lagi pembungkusan produknya.

  Beliau berkata, syarikatnya juga sedang meninjau untuk memasarkan produknya ke pasa raya besar di samping meningkatkan lagi jumlah ejennya.

  Sementara itu, Fara Jasseica juga menasihatkan mereka yang berminat untuk menjadi usahawan, perlu melihat perniagaan bukan sekadar untuk mendapat untung, tetapi juga untuk membantu orang lain.

  Beliau berkata, pengetahuan dalam menguruskan kewangan juga penting bagi setiap usahawan dalam memastikan kedudukan kewangan sentiasa mantap.

  Katanya, jika usahawan tidak pandai mengurus kewangan sendiri, modal yang diperuntukkan akan habis begitu saja.

JASSEICA ketika temubual di Desa Coalfields, Sungai Buloh. - Foto Muhd Asyraf Sawal

BIODATA

Nama: Fara Jasseica Mohd Rashid

Jawatan: Pengurus Besar Miwa Servntrade Enterprise

Usia: 35 tahun

Tempat Lahir: Kuala Lumpur

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pengajian Makanan, Universiti Putra Malaysia.

Berita Harian X