Ahad, 13 September 2015 | 12:04am
VOKALIS Kumpulan Exist, Ezad pada sidang media The Blue Jeans Concert di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

Demi isteri dan anak, saya tinggalkan dadah - Ezad Exist


BEKAS vokalis kumpulan Exist, Ezad Lazim enggan mensia-siakan peluang kedua yang diberikan dan mengakui kesilapannya yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah banyak memberi pengajaran agar lebih menghargai keluarga.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 36, berkata, kejadian yang berlaku itu memberi kesedaran agar berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.

Malah kata Ezad, beliau bertuah kerana sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, sahabat dan isterinya banyak menguatkan semangatnya untuk terus fokus terhadap masa hadapannya.

"Isteri adalah insan yang sentiasa berada di sisi saya tidak kira pada keadaan sukar atau pun senang dan dialah orang yang banyak menguatkan semangat saya agar melupakan kesalahan lalu dan dekat kepada agama.


KETUA Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (dua dari kanan), Pengarah Urusan Bombbay Worldwide, Zambre Shaari (tengah) bersama vokalis Kumpulan May, Mus, Ezad Exist dan Ito The Blues Gang pada sidang media The Blue Jeans Concert di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

"Apabila saya ditangkap, perkara utama yang difikirkan ialah isteri, terdetik keinsafan di dalam diri dan menyesal kerana perbuatan diri. Saya rasa sudah tiba masanya untuk berubah dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

"Saya sayangkan keluarga, isteri dan anak dan mereka membuatkan saya betul-betul ingin berubah lebih-lebih lagi saya diberi peluang kedua yang tidak sepatutnya disia-siakan," ujarnya kepada BH PLUS.

Menurut Ezad, fokus utama adalah memastikan perjalanan kerjaya bergerak lancar dan menjaga isterinya, Nor Azeana Ramli, 36, yang kini sedang hamil tujuh bulan namun menghidap kanser Ketumbuhan Stroma Gastrousus (GIST).

Tambah Ezad, isterinya nekad mahu melahirkan anak kedua mereka dan berharap akan berlaku keajaiban penyakit itu akan hilang setelah anak mereka dilahirkan.

GIST ialah sejenis ketumbuhan yang paling biasa terjadi di saluran usus yang menjejaskan saluran penghadaman atau struktur yang berhampiran dalam abdomen.

"Doktor menyarankan agar isteri saya melahirkan bayi yang dikandungnya apabila sudah sampai peringkat matang menerusi kaedah pembedahan.

"Segala rawatan khas untuk pesakit kanser dan kimoterapi akan dilakukan selepas isteri saya selamat melahirkan anak kedua kami. Lagipun isteri saya kandungan isteri saya sudah mencecah tujuh bulan lebih dan berada dalam keadaan sarat.


EZAD Lazim. - Foto Aziah Azmee

"Mengikut nasihat doktor, isteri saya dijangka untuk melahirkan pada akhir bulan ini atau awal bulan hadapan bergantung kepada berat bayi itu sendiri.

"Saya berharap agar orang ramai dapat turut sama mendoakan kesihatan isteri dan bayi dalam kandungannya itu. Semoga semuanya berjalan dengan lancar," kata Ezad.

Dalam perkembangan terbaharu, Ezad meluahkan rasa teruja dapat bergabung kembali bersama kumpulan Exist demi menjayakan The Blue Jeans Concert yang bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada akhir bulan hadapan.

Beliau berkata, gabungan semula itu hanya untuk projek berkenaan dan bukannya kembali sebagai vokalis kumpulan terbabit.

Tambahnya, Exist memang mempunyai perancangan untuk bergabung semula dan kembali aktif dalam industri hiburan sepertimana zaman kegemilangan mereka sebagai ikon Pop Rock terkenal di era 90-an.

Namun, buat masa ini, mereka masih lagi mencari masa yang sesuai tambahan memandangkan Ezad masih terikat dengan kontrak bersama syarikat rakamannya.

"Memang ada perancangan untuk reunion bagi memberi penghargaan kepada peminat yang menyokong kami selama 25 tahun dalam industri. Namun kami belum menetapkan sebarang tarikh kerana saya masih terikat dengan kontrak dengan syarikat rakaman.

"Saya terus bersetuju apabila ditawarkan untuk menyertai Exist sempena konsert The Blue Jeans Concert kerana ia adalah konsert solo untuk Exist dan ingin menjadi sebahagian daripada acara bersejarah itu.

"Memang teruja apabila diberitahu mengenai konsert berkenaan tetapi kehadiran saya bersama Exist hanya untuk projek istimewa sahaja," katanya yang sebelum ini pernah bergabung bersama Exist menerusi sebuah mini konsert di Hard Rock Cafe Melaka pada Ogos tahun lalu.

Berita Harian X