Sabtu, 12 September 2015 | 7:23pm

Murid Tahun Enam dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

DUNGUN: Seorang murid Tahun Enam dikhuatiri lemas ketika mandi bersama sepupu serta 10 rakan di Sungai Kampung Wa, dekat sini, hari ini.

Muhammad Alif Najmi Kamaruzaman, 12, dikatakan hilang ke dasar sungai terbabit selepas gagal mencapai kayu yang dihulurkan sepupunya, Muhammad Fakruldin, 10, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang.

Ketika kejadian, mangsa yang tinggal di Kampung Geliga, Kemaman, dikatakan datang bercuti di rumah bapa saudaranya, Abu Hassan Samah, 56 di kampung terbabit sejak semalam.

Mangsa dikatakan mengikuti sepupu dan rakan yang lain mandi di sungai terbabit, kira-kira jam 11 pagi.

Mangsa dikatakan hanyut ke tengah berikutan arus yang kuat sebelum terkapai-kapai kelemasan dan meminta tolong.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah, Imran Ismail mengesahkan menerima laporan kejadian.

Berita Harian X