X
Sabtu, 12 September 2015 | 2:09pm

Gerrard dedah tolak tawaran Spurs sebelum ke LA

BEKAS kapten Liverpool, Steven Gerrard. - Foto REUTERS
BEKAS kapten Liverpool, Steven Gerrard. - Foto REUTERS

LONDON: Bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard mendedahkan dia menolak tawaran daripada Tottenham Hotspurs sebelum menyertai kelab Amerika Syarikat, Los Angeles Galaxy kerana tidak mampu beraksi menentang bekas kelabnya.

Gerrard mengetahui penghujung kariernya makin hampir bersama Liverpool, musim lalu dan beberapa kelab ternama termasuk Tottenham berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Begitupun, bekas pemain tengah England itu bertekad untuk tidak beraksi menentang Liverpool, pasukan yang disanjunginya sejak kanak-kanak dan satu-satunya kelab profesional yang disertainya sebelum ke Galaxy.

Selain Spurs, kelab-kelab dari negara Perancis, Sepanyol dan Turki dikatakan turut berminat untuk mendapatkannya.

"Tawaran pertama datang dari Besiktas, kemudian selepas itu kelab yang diuruskan Slaven Bilic. Monaco. Mereka serius.

"Paris Saint-Germain juga nampak amat berminat. David Moyes turut menghubungi ejen saya beberapa kali, untuk menanyakan sama ada saya berminat untuk bermain bersama pasukannya di Real Sociedad.

"Beberapa kelab Inggeris untuk menghubungi namun saya tidak akan bermain menentang Liverpool. Ada minat daripada pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino.

"Adalah sesuatu yang bagus mereka masih berminat mendapatkan saya," kata Gerrard dalam buku autobiografi terbaharunya.

Dalam buku itu yang disirikan Daily Mail, Gerrard mencadangkan "senario sempurna" adalah dia ditawarkan kontrak setahun di Liverpool yang menyaksikannya beraksi sambil mengambil tanggungjawab pengurusan.

Begitupun, ketika ia dibawa kepada perbincangan kontrak baharu, ia termasuk pengurangan 40 peratus gaji dan bonus insentif prestasi.

"Nampaknya saya lebih mahukan mereka daripada mereka mahukan saya."

Gerrard dalam pada itu berkata dia menerima tawaran jumlah gaji yang kurang di Galaxy kerana mahukan kualiti yang diperlukan keluarganya. - AFP

Berita Harian X