Sabtu, 12 September 2015 | 12:01am
PAKAIAN yang dihasilkan daripada Tenun Pahang Diraja dipamerkan di Kampung Budaya Pulau Keladi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Sepit udang pemanis Tenun Diraja Pahang


UMUM mengetahui kemasyhuran dan nilai estetika kain Tenun Pahang Diraja. Seni ini melalui perkembangan pesat sehingga diterima sebagai satu hasil seni halus sejak dibawa sekumpulan orang besar Bugis diketuai Tok Tuan atau Keraing Aji dari Makasar, Indonesia ke Pekan, Pahang sekitar abad ke-16.

Dari setahun ke setahun, ia berkembang menjadi persalinan busana tradisional, termasuk songket yang pada awalnya dipakai oleh kerabat diraja dan golongan bangsawan, yang kemudiannya semakin meluas dipakai untuk acara rasmi, keraian dan perkahwinan.

Namun, ramai tidak mengetahui mengapa Tenun Pahang Diraja itu amat bernilai dan apa yang membezakannya dengan seni tenunan dari negeri lain.

Bagi menjawab persoalan itu, BH baru-baru ini bertemu dengan Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja, Nortipah Abdul Kadir, 71. Gelaran yang disandangnya itu diperoleh berikutan kepakaran dan ilmu pengetahuannya mengenai selok-belok menghasilkan kain tenun, termasuk songket bermutu tinggi.


ADIGURU Kraf Tenun Pahang Diraja, Nortipah Abdul Kadir. - Foto Luqman Hakim Zubir

Nortipah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Teh, yang juga generasi ke-11 keluarga Keraing, berkata kain dan songket Tenun Pahang Diraja sebenarnya mempunyai 'pemanisnya' tersendiri, yang sekali gus memberikan aura tersendiri kepada si pemakainya.

"Ia mesti memenuhi syarat dengan nama sebelum boleh dipanggil Tenun Pahang Diraja iaitu mempunyai kaki kain, sepit undang, tali air, badan kain dan kepala kain.

"Paling penting ia mesti ada motif sepit udang yang tidak ada pada kain tenun dan songket dibuat di negeri lain. Inilah pemanis kain dan songket Tenun Pahang Diraja...kalau tiada sepit udang macam tiada seri kain itu.

"Ia melengkapkan keindahannya kerana biasanya orang akan melihat kain songket dari atas ke bawah, ada seri kita tengok di bahagian bawah apabila ada sepit udang," katanya yang ditemui di kediamannya di Pulau Keladi, Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Perbezaan lain adalah corak tali air pada kain songket Tenun Pahang Diraja adalah lebih besar yang menambah keanggunan pemakainya selain ia tidak mempunyai sempadan antara kepala kain dengan badan kain.


NORTIPAH Abdul Kadir (tengah) meneliti hasil kerja anak buahnya. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Warnanya sama sahaja dan ini berbeza dengan kain tenunan negeri lain yang menampilkan warna berbeza selepas masuk sempadan. Jadi, proses untuk kita membuatnya agak rumit serta memerlukan penelitian," katanya.

Nortipah yang mengusahakan perusahaan membuat kain dan songket Tenun Pahang Diraja menggunakan jenama Legar Warisan turut berkongsi rahsia untuk menghasilkan produk yang baik.

"Memang kepakaran dan pengetahuan itu penting dalam menghasilkan kain dan songket Tenun Pahang Diraja yang cantik tetapi paling utama adalah 'mood' pembuatnya.

"Kalau hendak buat corak susah, kena ada 'rasa' hendak buat, kalau tidak ada susah hendak berjaya. Sebab itu, Mak Teh cakap kalau malas atau tiada rasa, baik jangan buat.

"Kalau ada 'rasa' hendak buat, cepat dan cantik saja ia siap, malah kalau tidak buat pada waktu itu, macam hendak sakit sahaja," katanya yang mewarisi kepakaran itu daripada keluarganya.


PELATIH Orang Asli di Kampung Budaya Pulau Keladi tekun membuat Tenun Pahang Diraja. - Foto Luqman Hakim Zubir

INFO

Kain tenun Pahang

  • Kain tenun Pahang dibawa masuk ke Pahang sekitar abad ke-16.
  • Mengikut catatan sejarah, sekitar 1,722 orang besar Bugis diketuai Tok Tuan atau Keraing Aji berkunjung dan menetap di Kampung Mengkasar, Pekan. Beliau dikatakan bertanggungjawab memperbaiki cara menenun kain sutera tempatan ketika itu dan dikenali songket tenun Pahang.
  • Songket Tenun Pahang Diraja berkualiti tinggi
  • Harga RM300 hingga RM5,000 setiap meter.
  • Songket Tenun Diraja Pahang melalui sembilan proses bermula dengan mewarna benang, menerai, menganin, mengatur corak, menyusuk, menggulung, menghubung, meneguh dan menenun.
  • Penenun yang mahir memerlukan masa antara sebulan hingga tiga bulan untuk menghasilkan Songket tenun Pahang berkualiti tinggi.
  • Songket Tenun Diraja Pahang adalah khazanah negara tidak ternilai kerana ia adalah lambang keagungan budaya Melayu yang penuh dengan ciri kesopanan dan kesantunannya.


  • Mak Teh pernah meminta maaf daripada Tengku Puan Pahang kerana tidak boleh mendedahkan rahsia dua teknik untuk menghasilkan kain songket Tenun Pahang Diraja. Ikuti kisah seterusnya, esok.

    Berita Harian X