Isnin, 7 September 2015 | 12:03am
PESERTA eksplorasi Gua Hari Malaysia atau Gua Padang Kawad berehat selepas menamatkan ekspedisi berhampiran pintu masuk gua di Merapoh.
PESERTA eksplorasi Gua Hari Malaysia atau Gua Padang Kawad berehat selepas menamatkan ekspedisi berhampiran pintu masuk gua di Merapoh.
PESERTA dan rombongan media terpaksa meredah sungai, mendaki dan menuruni bukit untuk sampai ke Gua Hari Malaysia. - Foto Adi Safri
PESERTA dan rombongan media terpaksa meredah sungai, mendaki dan menuruni bukit untuk sampai ke Gua Hari Malaysia. - Foto Adi Safri

Laluan sempit, berair cabaran pendaki Gua Hari Malaysia


WALAUPUN hanya berjaya sampai ke jarak 200 meter daripada keseluruhan 900 meter perjalanan dalam Gua Hari Malaysia, ia dianggap sudah memadai bagi golongan amatur atau yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti jelajah gua.

Gua yang terletak di Merapoh, Pahang ini adalah antara 145 gua batu kapur yang sudah diterokai dan disahkan selamat. Masih ada lagi sekurang-kurangnya 350 gua lain yang belum diusik dan kekal dalam keadaan semula jadi.

Dari pekan Merapoh, perjalanan ke denai utama ke gua ini memakan masa kira-kira 40 minit menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Melalui jalan tar sebelum meredah laluan berlopak dan tanah merah.

Sesekali kami memasuki kawasan tanah persendirian dan ladang kelapa sawit. Dari hentian terakhir pacuan empat roda, rombongan media yang menyertai promosi kempen Merapoh Forest Run 2015 perlu berjalan kaki ke pintu gua yang terletak kira-kira 1.2 kilometer dari situ.

Jaraknya tidak terlalu jauh, tetapi disebabkan terpaksa mendaki, menuruni bukit dan meredah sungai, perjalanan secara berkumpulan itu saja sudah mengambil masa hampir setengah jam.

PESERTA meredah anak sungai untuk sampai ke pintu masuk Gua Hari Malaysia atau Gua Padang Kawad di Merapoh, Pahang.
PESERTA meredah anak sungai untuk sampai ke pintu masuk Gua Hari Malaysia atau Gua Padang Kawad di Merapoh, Pahang.

Ketika hampir sampai ke pintu gua, kami ditunjukkan bekas tapak kem Parti Komunis Malaya (PKM) ketika era penentangan kumpulan pengganas itu. Kem itu terletak di pertembungan dua anak sungai kecil dan berhampiran bukit.

Lokasinya memang strategik kerana berada berhampiran sumber air bersih dan bukit yang dipenuhi gua. Daripada aspek taktikal peperangan, mereka memiliki kelebihan untuk bertahan dan melarikan diri.

Bahkan, gua yang bakal diredah itu juga sebenarnya dinamakan Gua Padang Kawad kerana wujud kawasan tanah lapang dipercayai tempat anggota komunis itu berkumpul dan berkawad.

Namun, ketika ekspedisi penduduk tempatan mengenal pasti gua di Merapoh, nama gua itu ditukar kepada Gua Hari Malaysia sempena tarikh ia ditemui pada 16 September 2012.

Keseronokan semakin memuncak apabila kami tiba di pintu gua yang bersambung dengan anak sungai kecil. Pintu masuknya cukup kecil, hanya boleh memuatkan seorang saja pada suatu masa dan terpaksa masuk secara merangkak.

PUAN Seri Shariffa Sabrina (kiri) bersama peserta bertolak ke Gua Hari Malaysia, Merapoh. - Foto Adi Safri
PUAN Seri Shariffa Sabrina (kiri) bersama peserta bertolak ke Gua Hari Malaysia, Merapoh. - Foto Adi Safri

Ketua jurupandu, Sabri Zul memberi taklimat dan paling penting ialah soal keselamatan serta bergerak secara berkumpulan dengan semangat kerjasama berpasukan. Paling utama, peserta mesti memastikan topi keselamatan dan lampu suluh berada di dalam keadaan baik dan berfungsi.

Selepas semua selesai dan kelengkapan juga berada di dalam keadaan baik, rombongan diketuai Presiden Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM), Puan Seri Shariffa Sabrina memulakan langkah meredah kegelapan untuk menikmati cabaran.

Baru saja beberapa langkah merangkak dari pintu gua, sudah ada 'penghuni' yang menanti di dinding gua. Seekor ular yang digelar 'Pelumba Gua' kelihatan tenang menanti mangsa di dinding yang basah. Bahagian kepala dan separuh badan reptilia itu berwarna putih manakala separuh lagi hingga ke ekor berwarna hitam.

Walaupun dimaklumkan ular itu tidak berbahaya, tidak berbisa dan cuma menangkap kelawar yang terbang di situ, perasaan takut tetap bersarang di hati kerana gua itu memang habitat spesis berkenaan.

ULAR digelar 'Pelumba Gua' menanti kedatangan pengunjung di pintu masuk gua.
ULAR digelar 'Pelumba Gua' menanti kedatangan pengunjung di pintu masuk gua.

MENUNGGU giliran untuk memanjat air terjun fasa pertama di Gua Hari Malaysia, Merapoh.
MENUNGGU giliran untuk memanjat air terjun fasa pertama di Gua Hari Malaysia, Merapoh.

Perjalanan menuju ke titik pertemuan 200 meter memang mencabar. Kami beberapa kali terpaksa merangkak dan membongkok disebabkan laluan dan dinding begitu sempit, cuma lolos untuk seorang peserta sahaja pada satu-satu masa.

Paling mencabar, bagaimana peserta terpaksa meredah laluan sempit yang bumbungnya kurang 0.5 meter dari paras air. Biarpun jaraknya cuma 10 meter, peserta terpaksa mendongak kepala atau mengiringi untuk mengelak air daripada memasuki hidung. Bahkan, ramai peserta yang terhantuk kepala di bumbung gua.

Semua itu membuatkan kami semakin bersemangat. Ada juga peserta yang mengalah disebabkan faktor usia, mungkin juga disebabkan keadaan agak sejuk dan terpaksa meredah banyak laluan berair.

Selepas lebih 20 minit berjalan, kami akhirnya sampai ke titik pertemuan yang sangat cantik. Di situlah terletaknya air terjun tahap pertama. Bayangkan betapa indahnya melihat air terjun di dalam gua.

Dinding air terjun setinggi empat meter itu dipasang tali untuk membolehkan peserta memanjat ke atas. Cabarannya bukan sembarangan kerana bukan semua peserta mampu memanjat laluan itu disebabkan tekanan air terjun memang kuat dan tepat ke muka pendaki. Peserta yang sudah berada di atas menghulurkan tangan membantu rakan yang memanjat, yang berada di bawah pula memberi galakan dan sokongan. Prinsip kerjasama berpasukan ini cukup bagus untuk aktiviti eksplorasi gua seperti ini.

Kami dimaklumkan, ada lagi empat air terjun jika kami meneruskan perjalanan sepanjang 900 meter di Gua Hari Malaysia. Disebabkan faktor masa, kami cuma menghabiskan masa di air terjun tahap pertama dan berpatah balik ke pintu gua.

LALUAN sempit menuju ke air terjun fasa pertama di Gua Hari Malaysia.
LALUAN sempit menuju ke air terjun fasa pertama di Gua Hari Malaysia.

Sekali lagi kami menempuh laluan sukar. Ketika itulah penulis menyedari betapa indahnya pelbagai bentuk stalaktit (batu kapur yang meruncing ke bawah) dan stalagmit (batu kapur yang bercerancang ke atas) yang terbentuk di dalam gua. Kedudukannya berterabur, begitu juga bentuknya yang pelbagai saiz dan rupa.

Keseronokan meneroka Gua Hari Malaysia ini memang mencetak pelbagai kenangan manis dan cukup berguna kepada golongan amatur seperti kami. Mungkin sudah tiba masanya diberi peluang kedua untuk menghabiskan masa sehari suntuk meredah laluan sepanjang 900 meter dan berpatah balik ke pintu masuk.

Sejuk, takut dan trauma yang dialami sepanjang eksplorasi gua itu cukup menarik bahkan ia sebenarnya sesuai bagi tujuan komersial khas untuk sektor pelancongan kerana laluannya diakui mencabar mental dan memerlukan fizikal kental.

Gua Hari Malaysia itu tergolong dalam kategori mencabar selain kategori gua arkeologi dan gua pertunjukan yang ada di Merapoh. Kategori gua ini memerlukan peserta memanjat, merangkak, berenang, menyelam, 'tubing' dan memanjat tali. Bak kata Sabri, gua seperti ini tidak akan mengecewakan pengunjung.

PESERTA merakam kenangan di atas air terjun tahap pertama setinggi empat meter dalam Gua Hari Malaysia.
PESERTA merakam kenangan di atas air terjun tahap pertama setinggi empat meter dalam Gua Hari Malaysia.

ANTARA bentuk stalaktit dan stalagmit dalam Gua Hari Malaysia.
ANTARA bentuk stalaktit dan stalagmit dalam Gua Hari Malaysia.

INFO

Gua kategori adventure di Merapoh, Pahang.

  • Gua Hari Malaysia
  • Gua Tagang
  • Gua Jinjang Pelamin
  • Gua Katak
  • Gua Air Mata Dayang
  • Gua Teluk Gunung

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X