Ahad, 6 September 2015 | 12:05am

Cinta Jue-Zizan kembali bertaut?


GOSIP cinta tidak pernah berhenti daripada mengejar bintang rupawan, Juliana Evans atau Jue, 26. Sejak awal pembabitannya dalam dunia hiburan, gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu sering dikaitkan menjalin hubungan dengan lelaki kacak dan berpengaruh.

Nama selebriti seperti Adam AF, Sam Bunkface, Zizan Razak dan SonaOne antara jejaka yang pernah dikatakan rapat dengannya.

Terbaru, pelakon Hantu Bonceng itu dikatakan bermain cinta dengan pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT). Selesa berterus terang, Jue atau nama sebenarnya, Juliana Sophie Johari Evans mengakui, kehadirannya sekadar memberi sokongan, apatah lagi isteri pemain JDT, Syafiq Rahim iaitu Zandra Aziela adalah teman baiknya.

Jue juga mengakui berkawan rapat dengan beb erapa pemain JDT lain seperti Izham Tarmizi dan Nazrin Nawi, menyebabkan kelibatnya sering kelihatan ketika JDT terbabit dalam perlawanan.

Tentunya isu keretakan hubungan Zizan dan Emma Maembong yang hangat diperkatakan awal tahun ini memberi tamparan hebat kepada Juliana apabila kepulangannya dikaitkan dengan perpisahan dua selebriti popular itu. Namun isu itu sudah dijawab, malah Jue sendiri menyukai hubungan Emma dan Zizan.

Namun, cerita terbaru yang bertiup kencang mengatakan pelakon yang membintangi dua filem iaitu 7 Dimensi Aliff dan Bella Dan Jamie sejurus pulang dari Amerika Syarikat (AS) itu kembali menjalin hubungan cinta dengan Zizan. Ada yang mendakwa ternampak mereka keluar berdua, baru-baru ini.

JULIANA Evans sering kali dikatakan menjalin hubungan dengan lelaki kacak dan berpengaruh. - Foto Munira Abdul Ghani
JULIANA Evans sering kali dikatakan menjalin hubungan dengan lelaki kacak dan berpengaruh. - Foto Munira Abdul Ghani

Agak terkejut dengan gosip terbaru yang menghimpit dirinya itu, Jue mengakui: "Bagaimana kami kembali menjalin hubungan cinta, sedangkan kami tidak pernah bercinta? Saya ingin tegaskan, cinta tidak pernah hadir di hati kami.

"Sejak dulu, kami tidak pernah umumkan kami bercinta. Bagaimanapun, saya tidak nafikan, kami berkawan baik. Malah, hubungan saya dan Zizan memang rapat, sebelum saya terbang ke AS untuk melanjutkan pengajian.

"Tetapi itulah, saya tidak seronok apabila sering dikaitkan dengan Zizan. Lebih parah apabila mendengar cerita saya menjadi punca perpisahan Zizan dan Emma. Gosip itu keterlaluan, sedangkan saya sudah lama tidak berhubung dan bertemu Zizan.

"Memang tidak nafikan, kebanyakan kawan baik termasuk Zizan bersedih dan menangis ketika saya berlepas ke AS. Tetapi, itulah impian saya selama ini. Pemergian saya selama tiga tahun menuntut banyak pengorbanan yang tidak pernah diketahui orang lain.

"Saya hanya bertemu Zizan dalam sebuah acara, baru-baru ini. Itupun selepas sekian lama saya pulang ke Malaysia, kami baru terserempak. Saya gembira bertemunya, persahabatan kami masih seperti dulu. Kami tidak pernah bergaduh sebelum ini, cuma tidak lagi berhubung selepas saya ke AS.

"Kami memberi tumpuan pada kehidupan masing-masing. Saya sibuk dengan pengajian, Zizan pula semakin mendaki puncak populariti. Ketika itu, bercinta dengan Emma. Namun, biar berjuta kali saya menafikannya pun, orang masih tidak mempercayainya. Apa yang berlaku antara Zizan dan Emma tiada kena mengena dengan saya!," katanya.

PELAKON, Zizan Razak. - Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Zizan Razak. - Nur Adibah Ahmad Izam

Sukar memilih teman hidup

Usia sudah menganjak 26 tahun, namun bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Pengajian Media dan Perfileman), Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat itu masih hidup bersendirian. Tidak logik jika tiada lelaki yang jatuh cinta kepada gadis secantik dan sebijak Jue.

Ketawa mendengar pertanyaan itu, Jue mengakui: "Saya peramah dan mudah berkawan dengan sesiapapun. Saya mudah didekati sebagai kawan. Bagaimanapun, sukar untuk memilih lelaki yang boleh dijadikan teman hidup.

"Pengalaman putus cinta dengan Adam AF dan Sam Bunkface menyebabkan saya lebih berhati-hati. Saya tidak menyalahkan sesiapa apabila perpisahan berlaku. Sudah ditakdirkan kami hanya bercinta, tetapi jodoh tidak sampai ke jenjang pelamin.

"Bagaimanapun, saya bukan 'playgirl' apabila dikaitkan dengan beberapa lelaki selepas itu. Mungkin kerana saya seorang yang berperwatakan happy go lucky, jadi saya mudah berkawan dengan sesiapa saja."

PERWATAKAN mesra membuatkan Juliana mudah berkawan dengan sesiapa saja. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PERWATAKAN mesra membuatkan Juliana mudah berkawan dengan sesiapa saja. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Jue yang sempat mengikuti kursus jangka pendek selama enam bulan di Akademi Filem New York, sebelum pulang ke tanah air berkata, bukan tidak pernah dirinya memberi ruang untuk mencuba hubungan baharu ketika di AS, namun tiada lelaki yang serasi dengannya.

"Saya mencari hubungan cinta yang sempurna, mungkin itu masalahnya. Memang sukar, malah hingga hari ini, saya masih mencari. Saya tidak mahu membuat keputusan yang silap. Kadang kala permainan cinta menyebabkan kita melakukan keputusan bodoh dan tidak masuk akal.

"Pengakhirannya, hubungan tidak ke mana. Itu yang membuatkan saya sentiasa berwaspada. Bohong kalau saya nafikan tidak bertemu dengan lelaki yang disenangi ketika di perantauan. Saya pernah rapat dengan seorang lelaki Inggeris ini, tetapi belum sempat menjalin hubungan serius, saya sudah mahu pulang ke Malaysia (ketawa).

"Saya juga tidak percaya hubungan jarak jauh, jadi saya biarkan ia berakhir begitu saja. Dalam usia 26 tahun, saya seharusnya sudah bersedia mencari pasangan hidup. Kalau boleh saya mahu berkahwin sebelum usia mencecah 30 tahun. Bagaimanapun, tidak mudah mencari lelaki yang menerima saya seadanya," katanya yang turut membintangi drama Oh My English! sebanyak 15 episod.

Tangguh hasrat pulang ke AS

DISEBABKAN jadual yang padat, Juliana terpaksa menangguhkan niat untuk pulang ke Los Angeles. - Foto Rohanis Shukri
DISEBABKAN jadual yang padat, Juliana terpaksa menangguhkan niat untuk pulang ke Los Angeles. - Foto Rohanis Shukri

Tanpa disedari, sudah hampir 10 bulan kepulangan Jue pulang ke tanah air. Bagaimanapun, hanya bulan ini pelakon filem Mael Lambong itu dapat bercuti dan berehat panjang.

"Sejak pulang, jadual saya penuh dengan fotografi dan penggambaran. Selama sembilan bulan, saya bekerja tanpa berehat panjang. Badan saya sangat penat hingga saya merayu kepada pengurusan, Uprising Entertainment Sdn Bhd supaya tidak menerima apa-apa projek buat seketika.

"Diikutkan saya harus pulang ke Los Angeles (LA) pada Mei lalu, tetapi kerana terbabit dengan beberapa projek, saya terpaksa ditangguhkan niat itu sehingga tahun depan. Saya sudah menandatangani kontrak dengan syarikat pengurusan, Boby Ball bagi menguruskan kerjaya saya di AS. Mereka mencari projek untuk saya.

"Bagaimanapun, saya terpaksa melupakan dulu impian besar itu kerana keluarga. Abang akan berkahwin pada hujung tahun ini, selain saya juga terikat dengan promosi dua filem yang dibintangi. Mahu atau tidak, saya hanya akan pulang tahun depan. Saya tidak berani untuk uar-uarkan mengenai projek drama atau filem yang menanti.

"Tunggu saya pulang ke LA dulu. Bagaimanapun, saya tidak berhasrat untuk berhijrah ke sana, sebaliknya memilih untuk berulang alik. Saya tetap akan menerima tawaran projek di sini. Apapun, hasrat menempa nama di kota Hollywood menjadi impian saya sejak kecil lagi," katanya.

Katanya, dia aktif dalam bidang lakonan dan peragaan ketika berada di LA dan New York bagi mengubat kerinduannya terhadap dunia seni.

"Saya masih lagi aktif membabitkan diri dalam dunia peragaan dan kerja di balik tabir. Saya pernah terbabit sebagai model peragaan, selain menjayakan muzik video artis antarabangsa dan filem pendek. Ini impian saya sebagai anak seni. Saya sedar persaingan di sana sengit tetapi saya mahu mencabar diri.

"Saya ingin melihat sejauh mana saya boleh melangkah Hollywood dengan bakat yang ada. Bukan mudah untuk menempa nama di sana, ia tentu mengambil masa yang panjang malah turut bergantung kepada tuah. Apa yang saya inginkan cuma pengalaman," jelasnya.

Berita Harian X