Sabtu, 5 September 2015 | 12:02am
ANTARA jenis ikan bakar dan makanan laut yang dijual di Pasar Sim Sim, Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
MAKANAN laut bakar di Pasar Sim Sim ini dikatakan lebih murah berbanding tempat lain di Sabah. - Foto Poliana Ronnie Sidom
IKAN di Pasar Sim Sim dipanggang dengan arang berbanding di tempat lain yang menggunakan dapur gas. - Foto Poliana Ronnie Sidom
LAUK dan sayur tambahan ala kampung yang disediakan secara percuma di Pasar Sim Sim. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Pasar Sim-Sim medan makanan laut


SANDAKAN: Bagi sesiapa yang bercuti ke Sandakan, Pasar Sim-Sim adalah antara lokasi wajib dikunjungi kerana banyak gerai menawarkan aneka juadah ikan serta makanan laut bakar dengan harga berpatutan.

Terletak di pinggir bandar Sandakan, pengunjung jangan terkejut jika hanya membayar RM5 hingga RM10 bagi seekor ikan atau makanan laut bakar bergantung kepada saiz untuk dinikmati bersama nasi serta dicicah sos istimewa atau air asam, selain pasti rambang mata melihat aneka jenis lauk ala kampung.

Itu antara keistimewaan menanti pengunjung di pasar berhampiran perkampungan atas air Sim-Sim itu yang dikatakan jauh lebih murah berbanding tempat lain yang menjual jenis makanan sama di Sabah.

Misalnya ikan jenahak yang siap dibakar dijual pada harga RM8 seekor di pasar itu, manakala di tempat lain boleh mencecah RM10 hingga RM15 seekor.

Pelbagai jenis ikan laut dalam dan air tawar segar boleh dipilih mengikut kegemaran pengunjung antaranya ikan putih, jenahak, belais, kerapu, sebelah dan ikan terubuk atau dikenali sebagai ikan baulu bagi penduduk negeri ini.

PASAR Sim Sim di Sandakan yang terkenal dengan makanan ikan bakar. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Selain pelbagai jenis ikan, pengunjung di pasar yang beroperasi setiap hari kecuali Rabu dari jam 9 pagi hingga 10 malam itu boleh menikmati sotong dan udang yang dipanggang untuk dimakan panas-panas.

Pengusaha ikan bakar, Hasrina Andy Cinta, 33, berkata ikan bakar di situ terkenal sejak sekian lama bukan saja kerana harganya murah, malah pakej disediakan iaitu hanya perlu membayar harga ikan, manakala nasi, lauk dan air kosong yang dihidangkan adalah percuma.

Selain itu, katanya, ikan di situ dipanggang dengan arang berbanding di tempat lain yang menggunakan dapur gas.

"Pengunjung yang datang ke sini bukan saja dari negeri lain, malah pelancong dari Korea, Jepun dan Russia yang mahu mencuba resepi ikan bakar.

"Pernah sekali pelanggan datang serentak kira-kira 50 orang hingga kami tak cukup tangan melayan tetapi syukur kerana rezeki sentiasa ada. Dalam sehari, pelanggan boleh mencecah antara 300 hingga 500 orang," katanya ketika ditemui BH di sini.

HASRINA Andy Cinta menunjukkan ikan yang siap dibakar di gerainya di Pasar Sim Sim. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Hasrina yang membantu ibunya menguruskan gerai ikan bakar selepas menamatkan persekolahan berkata, mereka membelanjakan sekurang-kurangnya RM2,000 sehari untuk membeli 150 kilogram (kg) ikan daripada pembekal dan nelayan.

Berkongsi rahsia memikat hati pelanggan, katanya, ikan bakar mereka dicampur dengan sos daripada rempah ikan yang dibuat hasil air tangan ibunya, Masati Malulu, 54, untuk menjadikan hidangan lebih sedap.

"Bagi pelanggan, tak lengkap makan kalau tiada sambal. Kami hasilkan sekurang-kurangnya 20 liter sos setiap hari dan ia cuma disimpan dalam masa sehari.

"Selalu juga bekalan ikan habis dalam masa setengah hari. Kami terpaksa dapatkan bekalan tambahan daripada pembekal untuk hidangan petang dan malam sebab pelanggan tak pernah putus datang," katanya.

PASAR Sim Sim dipenuhi pengunjung setiap hari untuk menikmati hidangan ikan bakar. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Hasrina berkata, pelanggan juga membabitkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan agama termasuk doktor, peguam selain orang kenamaan.

"Boleh dikatakan lawatan ke Sandakan tak lengkap kalau tidak ke Pasar Sim-Sim. Selain berniaga di sini, kami membuka cawangan di tempat lain dan menyediakan perkhidmatan tempahan ikan bakar kerana sambutan menggalakkan," katanya.

Pengunjung pasar, Mohd Ezal Salleh, 34, berkata dia dan rakan-rakannya datang ke pasar itu sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

"Rakan-rakan yang datang dari Sarawak atau Semenanjung tidak sah kalau tak ke sini. Bagi saya, bukan saja kerana harganya murah, malah disebabkan kualiti ikan disediakan lebih segar," katanya.

ORANG ramai menikmati hidangan ikan bakar di Pasar Sim Sim, Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

INFO

    Gerai ikan bakar Pasar Sim-Sim

  • Terletak berhampiran perkampungan air Sim-Sim
  • Menawarkan aneka juadah ikan bakar serta makanan laut panggang
  • Beroperasi setiap hari kecuali Rabu
  • Dibuka pada jam 9 pagi hingga 10 malam
Berita Harian X