X
Jumaat, 4 September 2015 | 12:00am

Runsing cela jerawat

KENAL pasti punca sebelum mulakan rawatan.
KENAL pasti punca sebelum mulakan rawatan.

ANAK saya berusia 16 tahun dan mula ditumbuhi jerawat sejak tahun lalu. Sudah mencuba pelbagai jenama krim jerawat di pasaran, tetapi gagal. Apakah kaedah lain boleh dilakukan untuknya.

Ibu Prihatin
Seri Kembangan, Selangor

Jerawat adalah fenomena biologikal yang terjadi pada kulit akibat masalah keradangan tisu pada bahagian kelenjar minyak pada kulit. Ia sering muncul pada bahagian kulit yang berminyak seperti pada bahagian kulit muka, leher dan badan.

Jerawat juga dianggap perkara yang mengganggu kelenjar dalam lapisan kulit. Kelenjar ini mengeluarkan minyak yang merangsang jerawat. Apabila liang roma pada permukaan kulit tersumbat, ia membuatkan kulit muka, belakang dan leher ditumbuhi jerawat.

Secara lebih terperinci, jerawat terbentuk apabila sebum, bakteria dan sel kulit mati tersangkut di dalam liang roma kulit. Beberapa punca menyebabkan jerawat tumbuh pada kulit muka, belakang badan dan leher.

Perubahan hormon

Pada usia remaja, kelenjar sebaceous mengembang dan mengeluarkan lebih banyak sebum di bawah kulit akibat perubahan hormon yang dikenali sebagai hormon androgen. Oleh itu, ramai remaja kerap mengalami masalah jerawat.

Ia adalah normal dan lamakelamaan liang sebaceous akan menghasilkan sebum yang semakin berkurangan berbanding pada usia remaja.

Bakteria

Bakteria dikenali dengan nama propionibacterium acne, pula adalah salah satu bakteria yang biasa ditemui dalam sel kulit. Orang yang berjerawat mempunyai propionibacterium acnes yang lebih banyak berbanding kulit orang yang tidak berjerawat.

Pemakanan

Walaupun punca jerawat yang disebabkan oleh diet atau pemakanan tidak dapat dibuktikan dengan jelas secara terperinci, tetapi ia mempunyai kesan langsung terhadap tahap insulin dalam badan individu.

Untuk pengetahuan anda, insulin adalah hormon terpenting manusia dan boleh mempengaruhi hormon lain di dalam tubuh termasuk hormon androgen yang turut menjadi penyebab pertumbuhan jerawat pada kulit muka, belakang badan dan leher.

Rambut

Rambut juga sedikit sebanyak boleh menyebabkan jerawat terutama rambut pada bahagian dahi dan pipi. Sebum dan kelemumur yang keluar daripada rambut apabila terkena pada kulit muka dalam jangka panjang akan menyebabkan radang serta menyumbat liang pada kulit muka. Keadaan itu menghasilkan jerawat.

Stres

Tekanan atau stres boleh memburukkan lagi pertumbuhan jerawat tetapi ia boleh dicegah dengan rawatan yang betul. Tahap stres yang tinggi boleh memberi kesan kepada jerawat dan menyebabkan radang jerawat yang teruk. Selain itu, apabila kita dalam keadaan stres, adrenalin dan hormon androgen yang ada di dalam badan akan dikeluarkan dengan berlebihan dan menjadi punca tumbuh jerawat.

PENJAGAAN kebersihan muka selepas bersolek penting bagi mengelak jerawat.
PENJAGAAN kebersihan muka selepas bersolek penting bagi mengelak jerawat.

Alat solek

Sebenarnya alat solek bukanlah punca utama jerawat, tetapi jika tidak dibersihkan dengan betul selepas memakai alat solek ia boleh memburukkan lagi keadaan jerawat terutama di sekitar muka. Cuci muka sebelum tidur untuk mengelak ditumbuhi jerawat.

Matahari

Cahaya matahari juga bukanlah penyebab utama masalah jerawat, tetapi haba yang dihasilkan oleh matahari boleh menyebabkan kulit anda berpeluh, berminyak dan liang roma tersumbat.

Pakaian

Tidak ramai yang mengalami masalah jerawat di belakang badan tetapi ia berlaku disebabkan oleh jenis pakaian yang dipakai terutama iklim tropika seperti di Malaysia. Belakang badan mempunyai ribuan kelenjar dan liang roma boleh memerangkap sebum.

Sewajarnya bahagian belakang badan dibersihkan ketika mandi untuk memastikan kulit sentiasa bersih dan bebas jerawat.

Sebenarnya, pakaian hanya sebahagian saja punca kulit ditumbuhi jerawat, namun prosesnya sangat kompleks yang boleh wujud akibat pelbagai sebab.

Jenis jerawat:

1. Jerawat ringan

  • Biasanya mempunyai sedikit bintik hitam dan jerawat.
  • Masalah jerawat ini hanya dikategorikan sebagai ringan sekiranya jumlah bintik merah atau nanah putih yang tercelakurang 30 bintik.

2. Jerawat sederhana

  • Pada kebiasaannya pesakit akan mengalami banyak bintik jerawat dan jerawat yang berwarna hitam serta merah pada bahagian wajah, dada dan belakang badan.

3. Jerawat kronik

  • Jerawat tumbuh besar, berwarna merah, rasa sakit dan berdenyut pada bahagian muka, dada, belakang badan serta anggota tubuh lain. Radang kulit akan berlaku jika kelenjar minyak mengeluarkan minyak dan sebum secara berlebihan.
  • Apabila ini berlaku, bintik putih akan muncul dengan banyaknya dan mengakibatkan pertumbuhan jerawat yang amat ketara.
  • Jika masalah itu berlarutan tanpa diselesaikan, ia akan mewujudkan interaksi antara jerawat dan minyak yang boleh menyebabkan parut kekal serta luka bernanah.

Kaedah rawatan

Kaedah biasa digunakan termasuk pengambilan ubat jerawat yang disediakan dalam pelbagai bentuk seperti ubat sapu (krim, losen, gel dan pencuci bentuk cecair) serta ubat makan (pil atau kapsul).

Penggunaan emollients iaitu krim kecantikan yang tidak berminyak juga boleh membantu mengurangkan jerawat terutama di zon T yang sering berminyak, menyingkirkan sel mati, mengecilkan liang roma, melicinkan kulit dan mengekalkan kelembapan kulit.

Antibiotik halang bakteria Pengambilan pil antibiotik berfungsi menghalang pembiakan bakteria, mengurangkan kemerahan dan bengkak jerawat. Selain itu, rawatan di klinik atau pusat perubatan aestetik yang menyediakan pelbagai rawatan menghilangkan jerawat dan parut.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X