Khamis, 27 Ogos 2015 | 11:37am

Olahraga Dunia: Bolt, Gatlin berentap final 200 meter malam ini

USAIN Bolt (kiri) dan Justin Gatlin. AP
USAIN Bolt (kiri) dan Justin Gatlin. AP

BEIJING: Dua pelari pecut terpantas dunia, Usain Bolt dan Justin Gatlin akan bertembung sekali lagi hari ini, apabila kedua-duanya mara ke final acara 200 meter di Stadium `Sarang Burung' di sini, malam tadi.

Bolt yang dilihat memiliki peluang mengekalkan kejuaraan dimenanginya sebelum ini selepas mencatat kemenangan luar biasa pada acara 100 meter di sini, pada Ahad lalu, melakukan larian dengan kepantasan 19.95 saat.

Gatlin pula yang menjadi pelari terpantas acara 200 meter pada tahun ini, mencatatkan masa 19.87 saat, untuk sekali gus membuka peluang menebus kekalahan mengejut acara 100 meter sebelum ini.

Acara final bakal berlangsung di stadium sama, jam 8.55 malam ini (sama waktu dengan Malaysia).

Bolt yang memegang rekod dunia acar 200 meter sebelum ini terpaksa berehat kerana cedera, mempamerkan larian menakjubkan bagi acara itu.

"Saya sedikit keletihan tapi akan terus berusaha untuk memenangi acara ini," katanya.

"Buat masa ini saya berasa OK. Saya tidak berlari kencang ketika di selekoh tapi saya cuba melakukannya sebaik mungkin pada final nanti. Acara 200 meter adalah acara terbaik saya," kata Bolt.

Sementara itu, Gatlin semakin terdesak untuk memenangi sesuatu pada kejuaraan dunia kali ini, selepas menjadi pilihan memenangi acara 100 dan 200 meter yang pertama kali dimenanginya sedekad lalu di Helsinki.

Pada saingan separuh akhir acara 200 meter itu, pelari pecut berusia 33 tahun dari Amerika Syarikat ini menguasai saingan berkenaan bagi memastikan pertembungan bagi kali kedua dengan pesaingnya dari Jamaica itu.

"Saya tidak sedar memecut dengan kelajuan itu," kata Gatlin merujuk kepada kemenangan separuh akhir acara 200 meter. "Saya harap dapat berlari lebih pantas pada final nanti,".

UNDIAN LORONG FINAL LELAKI ACARA 20 METER

2. Femi Ogunode (Qat)

3. Ramil Guliyev (Tur)

4. Justin Gatlin (USA)

5. Zharnel Hughes (GB)

6. Usain Bolt (Jam)

7. Anaso Jobodwana (SA)

8. Nickel Ashemeade (Jam)

9. Alonso Edward (Pan)

CATATAN MASA TERBAIK ACARA 200 METER TAHUN 2015

19.57 seconds - Justin Gatlin (USA)

19.68 secs - Justin Gatlin (USA)

19.80 secs - Rasheed Dwyer (Jam)

19.88 secs - Andre De Grasse (Can

19.95 secs - Usain Bolt (Jam)

- AGENSI

Berita Harian X