Isnin, 24 Ogos 2015 | 2:34pm

JAS pantau kualiti udara dan jerebu - Wan Junaidi

KUCHING: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang memantau dengan rapi status serta trend kualiti udara setiap jam berikutan keadaan jerebu yang masih tidak menentu dengan titik-titik panas masih dikesan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.


MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Abdullah Yusof

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata keadaan itu boleh menyebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan berterusan sehingga ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Junaidi berkata, kemerosotan kualiti udara dengan keadaan sedikit berjerebu yang dialami di beberapa kawasan di Sarawak ketika ini berpunca daripada kejadian jerebu merentas sempadan dari Kalimantan Barat, Indonesia.

Katanya peta jerebu serantau dikeluarkan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) dua hari lalu menunjukkan lingkaran jerebu sederhana berpunca daripada kawasan kebakaran tanah dan hutan di Sumatera Tengah dan Selatan serta Kalimantan Barat, Indonesia.

"Sementara itu tiga titik panas dikesan dalam negara iaitu satu di Pahang, dan dua di Sabah. Semua titik panas yang dikesan dalam negara akan disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan di laman web JAS sebentar tadi.

Wan Junaidi berkata Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka di seluruh negara sudah diaktifkan sejak Februari lalu meliputi aktiviti rondaan darat bagi tujuan pemantauan, mengeluarkan surat arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya sentiasa mengawal rapi kawasan pentadbiran masing-masing serta meningkatkan kempen kesedaran untuk orang ramai.

Beliau berkata 2,835 kes pembakaran terbuka dikesan di seluruh negara dalam tempoh antara Januari dan 12 Julai lalu, dan 507 daripadanya membabitkan kawasan hutan, kawasan pertanian (1,048 kes), kawasan industri (19 kes), kawasan pembinaan (50 kes), tapak pelupusan sampah (75 kes), kawasan belukar (562 kes) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (574).

"Untuk tindakan penguatkuasaan bagi tempoh yang sama, 172 kes pembakaran terbuka dikenakan tindakan kompaun dan 46 kes dikeluarkan Notis Amaran. Selain itu 16 kes pembakaran terbuka telah disediakan kertas siasatan untuk diambil tindakan mahkamah.

"Tindakan penguatkuasaan lebih tegas terus diambil sehingga boleh membawa kepada penangkapan mana-mana individu yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974," katanya.

Beliau berkata mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, sabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, selain kompaun maksimum RM2,000 yang boleh dikenakan atas setiap kesalahan. -BERNAMA

Berita Harian X