X
Sabtu, 22 Ogos 2015 | 3:58pm

MLS: Perang Gerrard dan Lampard

LOS ANGELES: Steven Gerrard memberi amaran kepada Frank Lampard untuk bersedia 'berperang' ketika bekas pemain Liverpool dan Chelsea itu bertemu dalam aksi Liga Major Amerika (MLS), esok.

Los Angeles Galaxy yang disertai Gerrard dan kelab diwakili Lampard, New York City FC akan bertemu esok dalam perlawanan yang dianggap paling dipenuhi bintang dalam sejarah MLS.

Kedua-dua kelab sebelum ini berbelanja besar untuk membawa bintang-bintang ternama termasuk Gerrard dan Lampard dengan poster promosi perlawanan itu agak melucukan apabila menyifatkan perlawanan itu sebagai 'Penjajahan British'.

Poster itu menampilkan gambar Gerrard dan Lampard dengan latar belakang Union Jack.

"Saya yakin Frank bersetuju ada perasaan sedikit segan kerana semua fokus menghala kepada kami apabila Los Angeles Galxy bertemu New York,"kata Gerrard.

"Begitupun, ia berkaitan permainan dan mendapatkan tiga mata.

"Apapun, kami memahaminya, kami bermain bersama sudah begitu lama. Permusuhan itu adalah benar. Apabila wisel ditiupkan dan kami bersaing antara satu sama lain, ia adalah perang," kata Gerrard sambil mengakui kedua-dua mereka adalah kawan baik di luar padang. - AFP

Berita Harian X