Jumaat, 21 Ogos 2015 | 3:10pm

Kanak-kanak hilang ditemui lemas di Sungai Selama


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengusung mayat kanak-kanak yang hilang dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Selama.

SELAMA: Seorang kanak-kanak yang hilang dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Selama, berdekatan Taman Menteri, di sini, kelmarin, disahkan lemas selepas mayatnya ditemui dalam sungai itu jam 9.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay, berkata mayat Muhamad Shafiq Shazanie Roslan,12, yang juga murid Sekolah Kebangsaan Selama iditemui berdekatan dengan jambatan Kampung Medan kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat dengan hanya berseluar pendek," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Selama untuk bedah siasat dan dibawa pulang ke kampung keluarganya di Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang untuk dikebumikan.


MAYAT Muhamad Shafiq Shazanie Roslan, yang di jumpai di sungai.

Shafiq yang juga anak anggota polis dipercayai dihanyutkan arus sungai ketika mandi bersama seorang adiknya, Muhamad Shawar Mikail, 11, dan tujuh rakannya pada jam 5.30 petang kelmarin.

Mangsa dilihat tenggelam timbul dan hilang dibawa arus sungai yang deras berikutan hujan lebat di sebelah hulu sungai.

Berita Harian X