Ahad, 16 Ogos 2015 | 12:01am

Utama pembinaan bangsa dalam penerbitan novel remaja

ANTARA novel terbitan tahun 1990-an.
ANTARA novel terbitan tahun 1990-an.

NAMA pengarang seperti Ismail Sarbini, Norhisham Mustaffa, Khairuddin Ayip, Nazel Hashim Mohamad dan Hasan Ali barangkali agak asing kepada pembaca muda masa kini.

Bagaimanapun, bagi pembaca yang melalui zaman remaja pada dekad 1980-an atau 1990-an dan dekat pula dengan dunia buku, pengarang terbabit boleh dianggap nama penting dalam genre novel remaja.

Justeru, membaca kembali beberapa judul karya pengarang terbabit seolah-olah menoleh ke zaman remaja yang ketika itu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi penerbit yang paling banyak menerbitkan novel genre itu.

Nilai murni memang menjadi elemen `mandatori' dalam novel remaja yang perlu disisipkan tetapi ada yang lebih dalam dan besar dalam penerbitan novel remaja.

Sebenarnya, nilai budaya dan agama yang kuat di desa serta cabaran di sebalik proses urbanisasi yang rancak pada dekad berkenaan menjadi garis besar yang membayangi novel berkenaan.

Kesedaran yang ditanam secara kreatif dalam penerbitan novel remaja yang berterusan itu sebenarnya membentuk nilai penting dalam diri pembaca, iaitu menghargai dan menjunjung budaya serta agama meskipun berdepan dengan cabaran kemodenan.

Kesedaran halus

Selepas membaca kembali novel remaja itu, barulah saya menyedari kewujudan garis besar dan kesedaran halus itu yang mungkin sebenarnya tidak pernah dirancang oleh pengarang dalam proses kreatif mereka.

Nilai itu sudah ada dalam kehidupan pengarang berkenaan kerana mereka dibesarkan dalam tradisi dan budaya yang masih murni serta sangat terikat dan ditentukan oleh agama.

Apabila saya membaca kembali novel remaja DBP misalnya Di Bawah Lembayung karya SM Zakir baru-baru ini, memori pembacaan novel yang lain seperti Menguak Kabus (Norhisham) dan Songket Berbenang Emas (Khairuddin), sekali gus menyedari kepentingan sastera dalam konteks pembinaan bangsa.

Di Bawah Lembayung umpamanya bergerak pada plot yang sangat sederhana (sudah tentu kerana saya membacanya sebagai pembaca dewasa), iaitu 'cinta monyet' di alam persekolahan tetapi garis besarnya adalah maruah dan keinginan mempertahankan nilai itu dan pengarang membandingkannya melalui kekuatan fizikal atau ilmu.

Latar persekolahan memang sangat sinonim dengan novel remaja, tetapi wataknya tidak hanya pelajar, bahkan juga guru seperti sebuah novel yang saya lupa judulnya yang menyorot perspektif cikgu kepada kelas yang paling hujung.

Selain latar persekolahan, novel remaja juga cenderung mengangkat latar masyarakat bandar dengan wataknya ialah remaja atau belia yang diuji dengan cabaran untuk mencari sesuap nasi.

Budaya pembacaan

Bagaimanapun, pembacaan satu dua novel remaja saja tidak cukup untuk menumbuhkan kesedaran terhadap kepentingan nilai budaya dan agama, sebaliknya menuntut budaya pembacaan yang terancang serta berterusan.

Apatah lagi kemajuan dan pembangunan yang pesat di sekeliling generasi muda dan baharu juga menuntut pembacaan karya yang mengambil kira perubahan itu yang tidak dapat ditampung melalui novel remaja terbitan dekad 1980-an atau 1990-an.

Hal ini perlu dilihat oleh DBP atau Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang kian giat menerbitkan buku termasuk yang disasarkan kepada pembaca remaja.

Bagaimanapun, penerbitan, pengedaran dan pembacaannya perlu dirancang dengan teliti supaya karya berkenaan bukan saja sampai kepada pembaca remaja, bahkan menjadi antara bahan yang digunakan, khususnya di sekolah yang tentu tidak terhad kepada teks Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).

Kedua-dua institusi itu sebenarnya sudah pun berada di bawah satu bumbung, iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus memudahkan perancangan membudayakan pembacaan karya bermutu dalam kalangan generasi muda.

Berita Harian X