Sabtu, 15 Ogos 2015 | 4:54pm

Laksanakan segera pelan tindakan pembiayaan politik - SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata perlu disegerakan cadangan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP).

Selain untuk merangka satu pelan pembiayaan politik yang lebih berintegriti, komprehensif dan inklusif, penubuhan jawatankuasa itu juga perlu dipercepat untuk meningkatkan keyakinan bukan saja kepada anggota parti politik, malah rakyat dan generasi akan datang.

SPRM berkata, ia menyambut baik cadangan penubuhan JKNMPP yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam kerana ia seiring dengan saranan yang pernah dikemuka SPRM menerusi panel-panel bebasnya sejak suruhanjaya itu ditubuhkan pada 2009.

"Dalam syor dikemukakan sebelum ini, SPRM mengesyorkan kerajaan mengkaji sumbangan dana politik supaya sumbangan dana kepada parti politik hendaklah dimasukkan terus ke dalam akaun parti, dan bukannya ke dalam akaun persendirian mana-mana pemegang amanah.

"Ini adalah bagi menjamin ketelusan terhadap mana-mana parti dan individu," kata kenyataan itu.

SPRM turut menjelaskan, sesetengah masyarakat kini menilai sesebuah parti politik berdasarkan persepsi yang tidak baik semata-mata kerana parti berkenaan dibabitkan dengan sumbangan dana politik.

Dalam hal ini, jelasnya, adalah penting bagi sesebuah parti politik untuk sentiasa membina persepsi positif dalam kalangan masyarakat.

"Antara cara terbaik untuk mencapai matlamat itu adalah dengan mengisytiharkan apa juga punca kewangan sesebuah parti politik dan akaun parti.

"Pertubuhan politik juga hendaklah boleh diaudit oleh juruaudit bertauliah setiap tahun kewangan berakhir atau pada bila-bila masa bagi tujuan pemantauan oleh pihak berkuasa," kata SPRM dalam kenyataan itu.

Berita Harian X