Isnin, 10 Ogos 2015 | 12:24am

Nyawa pengguna motosikal 'di hujung tanduk'


KUALA LUMPUR: Nyawa pengguna motosikal di negara ini boleh diibaratkan `berada di hujung tanduk' apabila kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) mendapati sistem jalan raya tidak lagi selamat bagi mereka.

Ini berikutan sistem aliran trafik bercampur dikenal pasti antara punca kemalangan maut yang meragut penunggang dan pembonceng motosikal, kebelakangan ini.

Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan raya dan Alam Sekitar, MIROS, Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan, berkata kajian terbaru institusi itu menunjukkan kebanyakan pengguna motosikal maut apabila terbabit nahas membabitkan dua atau lebih kenderaan.

PEGAWAI Penyelidik Kanan, Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan raya dan Alam Sekitar MIROS, Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan. - Foto NSTP
PEGAWAI Penyelidik Kanan, Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan raya dan Alam Sekitar MIROS, Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan. - Foto NSTP

Katanya, perkara itu menunjukkan sistem aliran trafik yang bercampur menyebabkan pengguna motosikal terdedah dengan risiko kemalangan dan kematian apabila berlanggar dengan kenderaan lain yang lebih besar.

"Kes kemalangan maut penunggang motosikal banyak berlaku kerana pelanggaran sisi iaitu sebanyak 27.5 peratus berbanding hilang kawalan sebanyak 21.4 peratus, sekali gus menunjukkan ada faktor lain menjadi punca nahas, antaranya dilanggar kereta, jalan rosak dan masalah pencahayaan," katanya ketika dihubungi BH.

Dalam kajian itu, sebanyak 14 peratus hingga 19 peratus kemalangan motosikal yang menyebabkan kematian membabitkan dua atau lebih kenderaan, dua kali lebih tinggi berbanding nahas maut secara bersendirian, iaitu hanya lima hingga enam peratus serta nahas membabitkan dua kenderaan iaitu dua hingga tiga peratus.

KEMALANGAN membabitkan motosikal dan kereta. - Foto NSTP
KEMALANGAN membabitkan motosikal dan kereta. - Foto NSTP

Kajian itu turut menjelaskan kemalangan membabitkan penunggang motosikal adalah lebih tinggi pada Sabtu, Ahad, Isnin dan Selasa iaitu pada kadar 60 peratus, antara jam 4 petang hingga jam 10 malam.

Beliau berkata, kecuaian pemandu bukanlah punca yang boleh diterima bulat-bulat kerana pengguna motosikal sentiasa berinteraksi dengan kenderaan dan situasi lain di jalan raya.

"Kajian ini juga menunjukkan kemalangan motosikal secara bersendirian banyak terjadi di jalan berlopak dan pecah, menunjukkan jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik berkemungkinan tinggi menyebabkan nahas.

JALAN yang mengalami masalah turapan membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal. - Foto Faiz Anuar
JALAN yang mengalami masalah turapan membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal. - Foto Faiz Anuar

"Berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR), kebanyakan jalan yang mengalami masalah turapan dan pengubahsuaian berlaku di jalan persekutuan dan negeri. Ini memberi kesan kepada penunggang motosikal," katanya.

Muhammad Marizwan berkata, pihaknya menyarankan lebih banyak laluan sikal diwujudkan seperti di beberapa laluan di ibu negara, di samping memastikan penyelenggaraan jalan raya yang baik bagi mengurangkan nahas maut membabitkan penunggang motosikal.

"Mungkin ada kekangan peruntukan untuk dilaksanakan di jalan Persekutuan dan negeri. Jadi, cadangan lain ialah menjadikan bahu jalan khas bagi laluan motosikal seperti dilaksanakan di beberapa negeri. Namun, semua pengguna jalan raya perlu dipastikan mematuhinya," katanya.

JALAN raya yang tidak diselenggara dengan baik berkemungkinan tinggi boleh menyebabkan nahas. - Foto Saddam Yusoff
JALAN raya yang tidak diselenggara dengan baik berkemungkinan tinggi boleh menyebabkan nahas. - Foto Saddam Yusoff

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X