Sabtu, 8 Ogos 2015 | 12:13am
SETIAUSAHA Agung Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Wan Khatijah Mior Idris. - Foto NSTP
SETIAUSAHA Agung Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Wan Khatijah Mior Idris. - Foto NSTP

Perluas laluan motosikal, tambah tempoh ujian memandu


KERAJAAN diminta memperluaskan laluan motosikal ke seluruh negara bagi mengurangkan kadar kemalangan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini.

Ini berikutan 62 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan pengguna kenderaan itu dan pada masa sama, golongan belia paling ramai menggunakannya.

Ahli Parlimen Belia, Mohd Hafiz Mansor, berkata ketika ini laluan motosikal hanya terdapat di beberapa bandar raya besar seperti di Kuala Lumpur dan Selangor, malah tidak semua kawasan di negeri terbabit mempunyai laluan berkenaan.

"Motosikal adalah kenderaan yang paling kecil ketika berada di jalan raya dan apabila berlaku kemalangan, golongan ini biasanya akan dipersalahkan sedangkan kenderaan lain turut terbabit.

"Langkah terbaik bagi mengatasi masalah ini adalah dengan memperluaskan laluan motosikal ke seluruh negara. Malah, langkah ini juga akan memudahkan pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan terhadap pengguna motosikal," katanya ketika ditemui BH.

Mohd Hafiz berkata, jumlah jam ujian menunggang motosikal bagi mendapatkan lesen memandu juga perlu dikaji semula bagi membolehkan penunggang benar-benar mahir undang-undang jalan raya.

JALAN raya yang tidak diselenggara dengan baik berkemungkinan tinggi boleh menyebabkan nahas. - Foto Saddam Yusoff
JALAN raya yang tidak diselenggara dengan baik berkemungkinan tinggi boleh menyebabkan nahas. - Foto Saddam Yusoff

"Jumlah jam ketika ini masih belum mencukupi. Penambahan jam ujian memandu boleh disusuli dengan menambah beberapa modul pembelajaran yang baharu bagi meningkatkan kemahiran individu ketika berada di jalan raya," katanya.

Berkongsi pendapat sama, Setiausaha Agung Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Wan Khatijah Mior Idris, yang mahu laluan motosikal diperluaskan, selain mencadangkan tempoh percubaan (Lesen P) yang ketika ini untuk tempoh dua tahun dinaikkan hingga ke lima tahun.

"Kebiasaannya dalam tempoh itu (percubaan), pemandu dan penunggang lebih berhati-hati dan kurang melakukan kesalahan.

"Selepas tempoh percubaan yang panjang, cara dan tabiat pemanduan pasti akan terikut-ikut dengan cara pemanduan ketika tempoh percubaan," katanya ketika dihubungi BH.

Wan Khatijah turut berpendapat pesalah jalan raya perlu terbabit sebagai sukarelawan dalam program keselamatan jalan raya.

"Mereka perlu terbabit secara langsung dalam aktiviti berbentuk komuniti dan khidmat sosial sebagai hukuman atas kesalahan yang dilakukan. Berapa lama mereka perlu terbabit ia bergantung pada jenis kesalahan yang mereka lakukan," katanya.

JALAN yang mengalami masalah turapan membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal. - Foto Faiz Anuar
JALAN yang mengalami masalah turapan membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal. - Foto Faiz Anuar

Sementara itu, kesesakan lalu lintas, ditambah keadaan ekonomi semasa yang menuntut penduduk berjimat menjadi antara faktor terutama belia memilih motosikal sebagai kenderaan pilihan untuk ke tempat kerja dan institusi pengajian.

Bagaimanapun, pertambahan jumlah kenderaan beroda dua itu disusuli dengan peningkatan angka korban di jalan raya apabila 60 peratus kematian membabitkan golongan itu, sejak 10 tahun lalu.

Aktivis keselamatan jalan raya, Azlan Sani Zawawi, berkata harga yang murah terutama kemasukan motosikal buatan China mendorong orang ramai terutama yang kurang berkemampuan membeli kenderaan itu, sekali gus meningkatkan jumlah motosikal di negara ini.

"Pembukaan kilang pemasangan motosikal di negara ini dan kemudahan Permit Import (AP) yang menjadikan motosikal berkuasa tinggi berharga lebih rendah menambahkan lagi bilangan kenderaan itu di jalan raya.

"Malah, pinjaman yang mudah dilakukan iaitu sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan golongan berkereta turut beralih menggunakan motosikal selain bagi menjimatkan petrol serta masa akibat kesesakan lalu lintas terutama di bandar besar," katanya kepada BH.

PEGAWAI Penyelidik Kanan, Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan raya dan Alam Sekitar MIROS, Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan. - Foto NSTP
PEGAWAI Penyelidik Kanan, Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan raya dan Alam Sekitar MIROS, Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan. - Foto NSTP

Azlan yang juga seorang pelakon, berkata lebih membimbangkan, peningkatan kemalangan motosikal turut disebabkan pertambahan penunggang baharu terutama penunggang motosikal berkuasa tinggi.

"Mereka yang berkemampuan terus membeli motosikal berkuasa tinggi. Mereka bukan bermula dengan menunggang motosikal berkapasiti enjin 250 kuasa kuda sebaliknya kapasiti enjin yang jauh lebih tinggi.

"Motosikal berkuasa tinggi yang ada di pasaran tidak seperti dahulu. Motosikal yang baharu ini lebih ringan dan terlalu laju. Dengan keadaan selekoh dan beralun di jalan raya di negara ini, ia tidak sesuai ditunggang dengan laju," katanya.

Ditanya punca motosikal sering terbabit dalam kemalangan maut, Azlan yang aktif menjalankan kerja sukarela dengan menanda tanda amaran pada jalan raya berisiko kemalangan dan menurap jalan berkata, keadaan jalan yang semakin teruk menjadi antara punca peningkatan jumlah kemalangan.

Katanya, punca jalan raya menjadi teruk adalah disebabkan lurang milik syarikat utiliti yang tidak diselenggara dengan baik dengan ada yang berada dalam keadaan tenggelam, ada yang timbul dan ada yang pecah.

KEMALANGAN membabitkan motosikal dan kereta. - Foto NSTP
KEMALANGAN membabitkan motosikal dan kereta. - Foto NSTP

"Pemandu kereta atau penunggang motosikal yang terlanggar lurang ini akan menyebabkan berlakunya kerosakan pada kenderaan dan lebih berbahaya, brek boleh rosak.

"Lebih memburukkan keadaan, serpihan tayar pecah, kayu dan barangan yang bertaburan di jalan raya akibat terjatuh daripada kenderaan lain menyebabkan penunggang motosikal berdepan risiko maut.

Azlan berkata, masalah kekeliruan hak penyelenggaraan jalan membabitkan pihak bertanggungjawab turut menyebabkan kerosakan pada jalan tidak diperbaiki.

"Ada beberapa kes apabila kita membuat aduan kepada satu pihak, pihak berkenaan menolak kepada pihak lain. Mereka sendiri keliru siapa sebenarnya bertanggungjawab.

"Masalah hak penyelenggaraan ini berlaku apabila jalan berkenaan berada di sempadan kawasan antara dua pihak berkuasa tempatan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X