Sabtu, 8 Ogos 2015 | 12:02am

Kari kepala ikan

KARI kepala ikan oleh Cef K.Rathakrishnan dari Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid
KARI kepala ikan oleh Cef K.Rathakrishnan dari Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid

SEBUT saja kari kepala ikan, tentu sudah terbayang aroma resipi ini yang memukau selera. Biasanya, masyarakat India terkenal dengan kemahiran memasak selera ini.

Bahagian kari kepala ikan dengan sentuhan masakan ala India, di minati masyarakat negara ini dan dijual di merata tempat seperti gerai, restoran dan hotel.

Lebih menarik, menu istimewa ini bukan saja boleh dimakan dengan nasi tetapi sedap juga dicicah dengan roti, lempeng atau diratah begitu saja.

Biasanya hidangan ini menggunakan kepala ikan merah, jenahak mahupun kerapu. Bagi menghasilkan kari kepala ikan sempurna, disarankan menggunakan kepala ikan segar dan besar.

Di negeri sebelah utara seperti di Pulau Pinang, resipi kari ini cukup popular. Jika berada di negeri ini, tidak sah jika tiada hidangan kari kepala ikan.

Namun, harga ditawarkan agak mahal, bersesuaian dengan rasa dan kualiti ikan ditawarkan.

Cipta kelainan kari kepala ikan

Junior Sous Cef, Hotel Grand Bluewave Shah Alam, Rathakrishnan Karyana, berkata kari kepala ikan, resipi masakan ala India ini sememangnya mempunyai rasa unik dan menarik.

Ia hanya boleh didapati jika anda mengunjungi hotel ini.

"Rempah kari perlu dimasak sehingga garing, barulah anda mendapat rasa enak untuk resipi ini.

"Hidangan kari kepala ikan ini sesuai dimakan dengan roti atau nasi putih. Ia mengenyangkan dan cukup dengan khasiat kerana menggunakan pelbagai rempah.

Bagi mereka yang pentingkan kesihatan, boleh menukarkan santan kepada susu cair.

Katanya untuk memberi lebih rasa, dicadangkan kari kepala ikan ditambah dengan sayur seperti tomato, terung bulat atau panjang mahupun bendi.

Malah, terpulang kepada anda sama ada mahu kuah kari pekat atau cair.

Kari kepala ikan

BAHAN-bahan untuk menyediakan kari kepala ikan. - Foto Rosdan Wahid
BAHAN-bahan untuk menyediakan kari kepala ikan. - Foto Rosdan Wahid

Bahan kisar

  • 3 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih (kisar atau tumbuk semua bahan secara kasar)
  • 1 inci halia
  • 3 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu kecil halba campur
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • sedikit daun kari

Bahan lain

  • 700 gram kepala ikan merah
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 paket rempah gulai ikan
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1 biji tomato (di potong 4)
  • 5 batang bendi
  • 1 biji terung bulat potong 4
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 50 mililiter air asam jawa

Cara-caranya

1. Tumiskan kesemua bahan kisar ke dalam kuali. Biarkan seketika dan biarkan sehingga naik bau.

2. Kemudian, masukkan rempah gulai. Tumis lagi sehingga naik bau.

3. Masukkan sedikit air bagi mengelakkan rempah terlalu kering.

4. Kemudian, masukkan terung, bendi dan tomata ke dalam masakan.

5. Kacau seketika dan masukkan air asam jawa.

6. Masukkan kepala ikan.

7. Akhir sekali masukkan santan dan perisa secukup rasa.

8. Kari kepala ikan siap dihidang.

Petua hilangkan hanyir ikan

1. Ambil sebiji limau nipis dan dipotong kepada beberapa bahagian

2. Gaul dan ramas ikan yang sudah dibersihkan

3. Kemudian, ambil potongan limau nipis dan ramas sehingga hilang lendir

4. Kemudian bilas ikan dengan air bersih. Selamat mencuba

Berita Harian X