Jumaat, 31 Julai 2015 | 2:53pm

KKMM bawa delegasi Malaysia sertai bengkel Digisilk di Itali

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) baru-baru ini membawa delegasi negara menyertai Bengkel Digisilk Malaysia di Rome, Itali bermula dari 25 hingga 28 Julai lalu.

Delegasi yang diketuai Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad itu turut disertai pihak Muzium Melaka dan Terengganu serta beberapa syarikat berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan bahan berbentuk media dan artifak sejarah seperti Ciptrabina Sdn Bhd dan Unique Sdn Bhd.

Bengkel 'Kandungan Digital bagi Warisan Budaya dan Pelancongan Pintar' selama empat hari itu bertujuan mendedahkan peserta kepada teknologi terkini dari Itali, pemeliharaan bahan sejarah serta memberi tambah nilai kepada bahan artifak yang secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah pengunjung muzium.

Sehubungan itu, Finas bersama KKMM akan memberikan bantuan dari segi kandungan digital di mana bahan sejarah yang disimpan Finas akan dipelihara dan ditambah baik untuk meningkatkan pembangunan industri kreatif negara.

Peserta juga dibawa melawat lokasi bersejarah di Itali, melihat bentuk fizikal bahan tersebut dan menjiwainya dengan adanya kesan audio visual yang begitu terancang dan teliti.

Pada masa sama, satu majlis menandatangani perjanjian 'Kerjasama Dalam Bidang Kebudayaan, Industri Filem dan Kreatif' antara Finas dan Lazio Innova turut diadakan pada Selasa lepas.

Majlis itu dihadiri Presiden Lazio Innova Dr Stefano Fantacone, orang-orang kenamaan dan wakil Kedutaan Malaysia di Itali, Kapten Roslan Idris.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X