Jumaat, 31 Julai 2015 | 9:24am

Olimpik 2022: Beijing, Almaty buat pembentangan akhir di KL hari ini

KUALA LUMPUR: Penantian negara mana yang akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 akan berakhir sejurus selepas bandar raya Beijing, China dan Almaty, Kazakhstan membuat pembentangan terakhir mereka, di sini, hari ini.

Sewaktu pembentangan itu, delegasi terbabit akan memberi penerangan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengenai konsep unik masing-masing mengenai cuaca, gelanggang dan suasana musim sejuk yang sebenar selaras dengan pembaharuan dalam Agenda Olimpik 2020.

Beijing dan Almaty adalah calon terbaik yang sama-sama memiliki sumber kewangan kukuh kerana kedua-dua negara mencatat pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan, selain mempunyai kemudahan sedia ada.

Bagi Beijing, bandar raya itu mempunyai rekod cemerlang kerana pernah menganjurkan Sukan Olimpik 2008.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Bidaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 China, Wang Hui, Beijing memiliki banyak kelebihan menganjurkan temasya itu terutama dengan kedudukan ekonomi yang mapan, selaras dengan agenda Olimpik baharu itu.

Beijing sudah memiliki 11 daripada 12 gelanggang sukan yang dibina sewaktu Sukan Olimpik 2008 dan tidak memerlukan pembinaan besar untuk menganjur temasya musim sejuk itu.

Apa yang kurang adalah kawasan pergunungan di kawasan sekitarnya dan musim sejuk di sana diketahui sangat sejuk dan kering, dengan salji turun sekali-sekala.

Namun penganjur percaya salji buatan manusia menjadi kelebihan mereka biasa dilakukan di kejohanan utama bagi memastikan kestabilan dan cerun yang licin.

Acara luncur dan gelongsor dicadang untuk diadakan Yangqing dan Zhangjiakou, masing-masing kira-kira 60 dan 140 kilometer dari bandar raya itu, manakala untuk acara dalam dewan, gelanggang di sekitar Beijing boleh digunakan.

Bagi mengatasi masalah jarak, satu laluan kereta api laju sedang dibina ke Zhangjiakou yang menurut penganjur hanya mengambil masa 50 minit untuk sampai.

Jika bidaan itu berjaya, Beijing bakal menjadi bandar raya pertama menganjurkan Sukan Olimpik musim panas dan musim sejuk.

Sebaliknya Almaty pula dianggap bandar raya musim sejuk dengan ibu negara Kazakhstan itu dikelilingi 4,000 meter kawasan pergunungan.

Menurut Datuk Bandar, Akhmetzan Yessimov, Almaty mempunyai sumber kewangan untuk menanggung temasya itu dan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 dibida dengan strategi kos rendah kerana hampir kebanyakan gelanggang dan infrastruktur sudah sedia ada.

Berbekal slogan 'Kekalkan Keaslian' Almaty memberi penekanan kepada salji asli dan kepadatan kerana semua gelanggang pertandingan hanya mengambil masa 30 minit perjalanan menerusi kawasan Pergunungan Alps.

Hampir 70 peratus daripada gelanggang pertandingan berada dalam lingkungan 30km dari Perkampungan Sukan sudah diuji menerusi pelbagai pertandingan antarabangsa.

Almaty yang turut membida untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014 tetapi gagal menempatkan diri dalam calon yang disenarai pendek, akan menganjurkan Sukan Universiti Musim Sejuk yang dijadualkan dari 28 Jan hingga 8 Feb 2017. - BERNAMA

Berita Harian X