Rabu, 29 Julai 2015 | 8:00am

Kenangan indah perpaduan kaum biar berpanjangan

ISU perpaduan dan perkauman tiba-tiba hangat dibicarakan baru-baru ini. Namun, sebenarnya ia bukan permasalahan besar di negara ini.

Meskipun sejak merdeka, rakyat Malaysia hidup berpaksikan dominasi tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India, keharmonian yang wujud membuktikan keamanan menjadi keutamaan semua kaum. Pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak juga menyumbang kepada keharmonian dan pembangunan negara.

Peristiwa 13 Mei 1969 memberi pengalaman besar kepada rakyat dan negara untuk bangkit menyatupadukan jiwa dan pemikiran masyarakat. Pelbagai dasar dan program dilaksanakan demi penyatuan rakyat pelbagai bangsa sama ada di desa, bandar kecil atau kota raya.

Begitu juga melalui sektor pendidikan, integrasi kaum sesama pelajar dibentuk walaupun masih wujud sekolah jenis kebangsaan yang tidak mencerminkan kepelbagaian kaum dan perpaduan. Namun, masih ada anak Melayu yang belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina, cuma jumlahnya agak kecil. Belajar di sekolah Cina, bukan suatu masalah walaupun majoriti pelajarnya Cina.

Penulis ketika di Tingkatan Satu hingga Lima, belajar di sekolah menengah Cina yang agak terkenal di Alor Setar pada awal 1980-an. Kami mengikut arahan guru dan pengetua. Walaupun, selepas alam persekolahan kami membawa haluan hidup masing-masing, secangkir kenangan itu mengajar kami betapa nikmatnya hidup dalam kepelbagaian budaya.

Ketika remaja, keluarga kami tinggal di sebuah perkampungan nelayan memiliki jiran India bernama Letchumi dan suaminya, Raja, seorang nelayan. Apabila suaminya ke laut, Letchumi bermalam bersama ibu di rumah kami. Kenangan itu terus terpahat sehingga sekarang. Letchumi dan kami bagaikan saudara. Bila ibu tidak sihat, Letchumi turut menjaga ibu. Kini Letchumi entah di mana selepas hampir 40 tahun tidak bertemu.

Begitu juga seorang juru enjin bot nelayan bernama Ah Seng yang setiap hari meninggalkan basikalnya di bawah rumah kami. Ah Seng terlalu rapat dengan ayah apalagi bekerja mencari rezeki di dalam bot yang sama. Ini sebahagian daripada kisah kehidupan rakyat negara ini yang dapat hidup bersama di tengah-tengah masyarakat yang sebenarnya.

Begitu juga di universiti, kami memiliki mahasiswa berketurunan Cina dan India yang agak rapat. Ada yang akrab seperti anak sendiri.

Insiden di Plaza Low Yat baru-baru ini yang disifatkan sesetengah pihak sebagai berbau perkauman tidak boleh dijadikan asas untuk kita hidup dalam suasana mementingkan kaum dan bangsa masing-masing. Kebijaksanaan penting dalam menangani isu ini selain penguatkuasaan. Oleh kerana manusia dilahirkan dalam pelbagai keturunan, pastinya soal memihak kepada kaum dan keturunan masing-masing tetap menjadi lumrah dan darah daging sampai bila-bila.

Falsafah kejayaan kaum Cina dalam perniagaan, mungkin boleh dipelajari sebagai penambahbaikan untuk orang Melayu walaupun ramai usahawan Melayu yang sudah berjaya. Kejayaan mereka terbukti dalam penguasaan ekonomi di negara ini.

Pepatah Melayu ada menyatakan 'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak'. Pesanan orang tua-tua, jika pergi ke sesuatu tempat pandai-pandailah membawa diri. Apa maksud di sebalik analogi ini? Pastinya ia mementingkan kewarasan berfikir memahami budaya setempat atau gaya berfikir dalam konteks kesaksamaan walaupun realitinya pandangan, budaya dan ideologi politik berbeza-beza.

Mahu hidup sejahtera

Inspirasi kita tetap sama untuk hidup sejahtera dan bahagia dengan semangat kejiranan dan pergaulan yang baik. Perbezaan agama dan kepercayaan bukan permasalahan untuk masing-masing berbincang bersama dan makan bersama-sama, malah memiliki impian untuk meraih kejayaan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Rakyat Malaysia perlu berfikir supaya harga kedamaian, kesejahteraan dan keamanan tidak menjadi rendah dan tidak berharga seperti di negara yang bergolak. Ketika itu, harta dan keselesaan hidup yang ada sekarang ibarat sampah di jalanan.

Apalah makna kehidupan, apabila nyawa tidak menjadi keutamaan dan hidup dilingkari persengketaan, pergaduhan, perbalahan dan perselisihan pendapat berpanjangan. Yang pergi, tidak akan kembali ke pangkuan kita. Yang tinggal hanya kenangan sama ada sahabat atau musuh.

Penyair Usman Awang dianggap legasi dalam memperjuangkan perpaduan menerusi karya kreatif. Keikhlasan dan kejujuran menerapkan persoalan ini dalam karya kreatifnya menjadi kenangan terindah untuk masyarakat Malaysia. Puisinya Anak Jiran Tionghua dan Salam Benua, antara yang memaparkan kepentingan hidup bersatu padu di dalam negara dan sejagat. Penulis terharu menyaksikan 'youtube' seorang insan seni berketurunan Cina yang cacat tangannya bernama Ong Boo Siong memetik gitar menyampaikan puisi Salam Benua.

Percikan api kemarahan dan perkauman mudah dihamburkan, namun untuk memadamkannya bukan mudah. Dalam fikiran masyarakat sudah dijelmakan pelbagai andaian, tanggapan dan persoalan yang adakalanya sukar dijawab dan ditangani.

Berita Harian X