Selasa, 28 Julai 2015 | 12:53pm

2,799 pekerja MAS yang diberhentikan berdaftar di CDC

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem

PETALING JAYA: Seramai 2,799 pekerja Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang menerima notis pemberhentian dan berkhidmat secara kontrak sementara telah berdaftar dengan Pusat Pembangunan Korporat (CDC).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, sebanyak 81 peratus daripada jumlah pekerja MAS itu mahu meneruskan pekerjaan dengan syarikat lain, manakala 18 peratus memilih untuk bekerja sendiri.

Beliau berkata, CDC yang ditubuhkan Khazanah Nasional Berhad antara lain menyediakan 450 kursus latihan kepada pekerja MAS sebagai proses peralihan kerja susulan pelaksanaan pelan pemulihan syarikat itu diluluskan kabinet pada 27 Ogos tahun lalu.

"Hari ini (semalam) adalah hari ketiga CDC menganjurkan ekspo kerjaya kepada pekerja MAS yang berminat untuk menceburi pelbagai sektor perkhidmatan, antaranya penerbangan, telekomunikasi, teknologi maklumat dan penerbitan.

"Semua pekerja MAS yang berdaftar dengan CDC menerima latihan berkaitan dalam pelbagai sektor perkhidmatan bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan setaraf dengan kelayakan mereka," katanya pada sidang media di Akademi MAS, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi CDC, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Mohd Jeffrey Joakim.

Berita Harian X