Rabu, 22 Julai 2015 | 4:32pm
Rehat dan Rawat Seremban.

Juruteknik maut motosikal terbabit kemalangan

SEREMBAN: Seorang juruteknik maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas di KM245.2, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Seremban, awal pagi tadi.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada 5.30 pagi itu, Muhammad Aidil Azri Talib, 34, beralamat dari Felda Redong, Segamat, Johor, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda CB500X dipercayai dalam perjalanan dari Johor menuju ke tempat kerja di Cyberjaya.

Mayat mangsa dijumpai terbaring di lorong kecemasan oleh pengguna lebuh raya yang kemudiannya menghubungi pihak polis.

Menurut jurucakap itu, berdasarkan kerosakan pada motosikal, mangsa dipercayai melanggar sesuatu objek keras di atas lebuh raya itu, sebelum terjatuh.

Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Supt Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan berkata punca kejadian masih disiasat. BERNAMA

Berita Harian X