Sabtu, 18 Julai 2015 | 1:30pm

Kanak-kanak tiga tahun maut dilanggar kereta bapa

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut apabila dilanggar kereta bapanya ketika beraya di rumah saudara mereka, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Mutia Noraini Ayub, bersama tiga adik-beradiknya mengikut ibu bapa mereka beraya di Taman Sejati Ujana, Batu 7, di sini dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapa mangsa.

Ketika tiba di rumah terbabit, mangsa bersama ibunya serta adik-beradik lain dikatakan turun dan masuk ke rumah, manakala bapanya membetulkan kedudukan letak kereta.

Bapa mangsa dikatakan hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar jeritan isterinya sebelum turun memeriksa di bawah kenderaan dan mendapati anak ketiga mereka itu berada di sebelah tayar hadapan.

Mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent, di sini dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Zabidi Mohd Zain, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X