Rabu, 15 Julai 2015 | 6:45pm

Perwaja dijangka pulih Mac 2017, Zhiyuan suntik RM1.8b


PENGARAH Perwaja Holdings Bhd (Perwaja), Datuk Alan Ong menyaksikan majlis memeterai perjanjian rangka kerja induk (MFA) dengan unit Zhiyuan, Zhiyuan International Investment and Holding Group (Hong Kong) Co Ltd, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mior Azfar Mior Kamarulbaid

KUALA LUMPUR: Perwaja Holdings Bhd (Perwaja) akan menerima suntikan modal RM1.8 bilion daripada TianJin Zhiyuan Investment Group Co Ltd (Zhiyuan) melalui langganan terbitan khas saham bagi memulihkan kewangan pengeluar produk keluli bersepadu terbesar itu.

Pengarah, Datuk Alan Ong, berkata langkah itu terkandung dalam Perjanjian Rangka Induk (MFA) antara Perwaja dan syarikat China terbabit.

Beliau berkata, MFA itu akan menggantikan Memorandum Perjanjian Perwaja yang dibuat dengan Zhiyuan pada 11 Februari lalu dan memorandum perjanjian kedua pada 29 April lalu.

"Kumpulan dijangka pulih pada Mac 2017 apabila langkah korporat itu selesai dilaksanakan," katanya selepas majlis memeterai perjanjian rangka kerja induk (MFA) dengan unit Zhiyuan, Zhiyuan International Investment and Holding Group (Hong Kong) Co Ltd, di sini hari ini.

MFA itu akan menggantikan memorandum perjanjian pertama dan kedua, perjanjian pajakan yang telah ditandatangani beberapa bulan lepas, serta membentuk hasrat dan persefahaman pihak-pihak berkenaan berkaitan langkah menyusun dan menggiatkan semula Perwaja Group.

Ong berkata, Zhiyuan akan menguasai 37 peratus pegangan dalam Perwaja pada peringkat awal dan akan meningkat kepada 64 peratus apabila selesai pelaksanaan perjanjian itu, manakala pegangan bagi pemegang semasa, Kinsteel Bhd dan Maju Holding Sdn Bhd akan dikurangkan kepada 25 peratus daripada 64 peratus pada masa ini.

Antara perkara utama dalam MFA itu termasuk penstrukturan semula kunci kira-kira yang dicadangkan untuk mengukuh dan mengurangkan kerugian terkumpul, terbitan khas dan terbitan hak dengan waran yang dicadangkan akan meningkat kepada RM52.2 bilion, penstrukturan semula hutang, pertukaran sebahagian hutang kepada ekuiti, penjadualan semula bayaran balik bagi tempoh yang panjang dan pengecualian daripada melaksanakan tawaran pengambilalihan wajib.

Perwaja mencadangkan pengurangan nilai tara kepada lima sen setiap satu daripada RM1.00 sesaham, yang akan mengurangkan modal berbayarnya kepada RM28 juta daripada RM560 juta ketika ini.

Ong berkata, pengurangan itu akan membolehkan terbitan saham baharu pada masa depan secara lebih fleksibel. Zhiyuan akan melanggan keseluruhan terbitan hak yang dicadangkan, serta menyediakan aku janji bertulis yang tidak boleh dibatalkan untuk melanggan haknya hingga RM100 juta di bawah hak yang dicadangkan.

"Dengan penyempurnaan langkah korporat itu dan kemasukan Zhiyuan, kami boleh menjangkakan untuk melihat pengeluaran Perwaja daripada senarai syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi dan Presiden Zhiyuan Investment Group, Zhang Zhong berkata, sebab utama syarikat itu memilih untuk melabur dalam Perwaja adalah kesesuaian kilang itu menjalankan pengubahsuaian dengan menggunakan teknologi Zhiyuan, yang boleh dihasilkan pada kos yang rendah.

Kilang Perwaja juga terletak di lokasi strategik berhampiran prasarana yang membangun dan Pelabuhan Kemaman, pelabuhan laut utama di Pantai Timur, katanya.

Berita Harian X