Khamis, 9 Julai 2015 | 12:13am

Amal surah tertentu ketika hamil punca terpengaruh perkara khurafat

SOALAN? Isteri saya sedang mengandung. Jadi, saya dinasihatkan oleh rakan yang lebih berumur menggalakkan isteri mengamalkan dua surah penting untuk wanita mengandung dalam al-Quran iaitu surah Yusuf dan Maryam. Surah Yusof boleh menyebabkan anak kita itu menjadi cantik dan kacak bagaikan Nabi Yusof, manakala surah Maryam bertujuan memudahkan ibu mengandung bersalin bagaikan ketika Maryam melahirkan Nabi Isa AS. Adakah dakwaan itu benar.

SEMUA surah dan ayat di dalam al-Quran adalah terbaik serta amat digalakkan untuk diamalkan oleh wanita sepanjang kehamilan. - Foto hiasan

Untuk pengetahuan saudara, semua surah dan ayat dalam al-Quran adalah terbaik untuk diamalkan oleh umat Islam. Tiada sebarang dalil sama ada daripada al-Quran dan sunah yang menjelaskan bahawa dua surah dimaksudkan itu terbaik untuk diamalkan oleh ibu mengandung.

Lebih bahaya lagi apabila terdapat golongan yang pandai-pandai mengkhususkan keistimewaan tertentu terhadap surah Yusof dan Maryam seperti cantik atau mudah bersalin apabila dua surah berkenaan dibaca oleh ibu mengandung.

Pengkhususan seperti ini sebenarnya memberi impak negatif kepada umat Islam atas beberapa sebab. Pertama, ia akan menyebabkan umat Islam terpengaruh kepada perkara khurafat yang langsung tiada asas daripada al-Quran dan al-sunah berhubung keistimewaan anak cantik atau mudah bersalin.

Kedua, ia akan menyebabkan sebahagian umat Islam menuduh al-Quran sebagai penipu atau menyalahkan al-Quran apabila anak lahir tidak seperti sifat yang dihajati.

Ketiga, ia mendidik sifat malas dalam diri umat Islam untuk membaca keseluruhan al-Quran kerana mereka akan membaca surah atau ayat tertentu sahaja bagi mengejar keistimewaan yang didakwa memberi kesan kepada isteri serta anak mereka. Ia sama sekali bercanggah dengan kehendak Islam.

Sehubungan itu, ingin saya tegaskan bahawa al-Quran dituntut untuk dibaca keseluruhan surah yang terdapat di dalamnya. Ia perlu dibaca dan dihayati bermula daripada surah al-Fatihah hingga surah al-Nas.

Percayalah, sesiapa yang membacanya untuk mendapat keredaan Allah SWT, mereka akan diberkati hidup di dunia dan akhirat. Lebih menggembirakan lagi, apabila setiap ayat dibaca daripada al-Quran akan datang di akhirat kelak sebagai syafaat untuk memasuki syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Sabda Nabi SAW: "Puasa dan al-Quran akan datang menjadi syafaat kepada manusia di akhirat kelak. Puasa akan berkata: Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah melarang orang ini daripada makan dan minum di waktu siang, jadikanlah aku (puasa) sebagai syafaat untuknya.

Berkata pula al-Quran: Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah melarang orang ini daripada tidur di waktu malam (untuk membaca al-Quran), jadikanlah aku (al-Quran) sebagai pemberi syafaat untuknya. Lantas Allah menerima keduanya menjadi syafaat kepada tuannya." (Riwayat Ahmad, darjat hadis hasan)

Berasaskan kepada hadis ini, maka semua yang bergelar Muslim dan Muslimah perlu membaca al-Quran sebanyak mungkin.

Tidak perlu memilih surah tertentu kecuali yang memang sah terdapat riwayat daripada Nabi SAW akan kelebihan membacanya seperti surah al-Kahfi, al-Mulk dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, membaca keseluruhan surah yang terkandung dalam al-Quran adalah yang terbaik dan Insya-Allah ia akan memberi kesan positif kepada kita di dunia serta akhirat.

Berita Harian X