Khamis, 18 September 2014 | 8:02pm
Perhimpunan sambutan kemerdekaan antara tindakan simbolik patriotisme. - Gambar hiasan

Semangat patriotisme perlu dijiwai, bukan sekadar simbolik

Merdeka! Merdeka! Merdeka. Teriakan suara hangat, suara penuh semangat, suara keramat yang keluar daripada jiwa yang merdeka. Zaman dulu-dulu, ketika nenek moyang kita menyebut serta melafazkan perkataan ini dengan suara bergetar yang mempunyai rasa dalam jiwa kerana berasa sangat-sangat terharu, sangat gembira dan sangat bersyukur.

Kini bagaimana perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan? Adakah kita merasa terharu? Adakah kita berasa bersyukur? Atau paling tidak, adakah kita rasa bangga?

57 tahun negara kita Malaysia telah merdeka daripada penjajahan. Alhamdulillah. Sekiranya dibuat perbandingan dengan manusia, umur 57 tahun secara fitrahnya akan tergambar dalam fikiran kita akan kewujudan manusia yang matang dari segi fikiran dan kerjaya, mantap dari segi sahsiah diri dan material. Begitu juga dengan negara kita, Malaysia kini gah pada mata dunia, malah telah menduduki antara negara yang maju berbanding negara jiran. Tetapi bagaimana pula dengan remaja kita? Adakah kita dapat menyelami apa itu erti kemerdekaan? Adakah jiwa dan fikiran kita benar-benar merdeka? Adakah betul cara segelintir remaja yang menyambut kemerdekaan dari petang, tengah malam hingga dinihari?

Remaja dan Patriotisme

Bertitik tolak daripada kerisauan ini, kami di Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir melakukan satu kajian bagi melihat dan mendalami sejauh manakah tahap patriotisme dalam kalangan belia Malaysia. Malangnya, dapatan yang kami peroleh amat menakutkan. Sehingga kami terfikir, masih wujudkah lagi kemerdekaan negara kita dalam tempoh 50 tahun mendatang ini.

Tidak boleh tidak, setiap kali munculnya bulan Ogos, isu berkaitan semangat patriotisme sering kali menjadi bualan masyarakat Malaysia. Patriotisme sering kali dikaitkan dengan cintakan watan yang menjadi satu semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda.

Nilai patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Oleh itu, adalah sangat wajar bagi generasi muda khususnya menjadikan nilai patriotisme sebagai amalan atau pegangan serta disemai dalam jiwa segenap lapisan masyarakat Malaysia demi kelangsungan negara dalam menghadapi era pasca modenisme dan dikenali sebagai masyarakat majmuk.

Selain itu, patriotisme berkait rapat dengan nasionalisme dan kedua-dua istilah ini sering ditukar ganti penggunaannya seolah-olah sinonim dengan satu sama lain. Patriotisme juga membayangkan bahawa seseorang wajar mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan diri dan kelompoknya. Ketika peperangan, mungkin nyawa diri yang perlu dikorbankan. Gugur dalam pertempuran demi tanah air adalah contoh tipikal bagi patriotisme yang aulia atau ekstrem.

Walaupun patriotisme sering disamakan dengan nasionalisme, tetapi kedua-duanya ada perbezaan. Semangat patriotik dapat disimpulkan sebagai roh atau kumpulan orang yang mempunyai pendapat yang sama dalam mengekalkan dan melindungi negara tercinta. Nasionalisme wujud selepas patriotisme dibina dalam jiwa setiap individu dalam masyarakat itu. Ia wujud selepas beransur-ansur penjanaan nilai-nilai positif patriotik dalam individu untuk mempertahankan semangat nasionalisme.

Dua jenis patriotisme

Hakikatnya, patriotisme boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu patriotisme peribadi dan patriotisme rasmi. Patriotisme peribadi adalah berperasaan dan sukarela. Patriot mematuhi nilai patriotik tertentu, seperti menghormati bendera. Kerajaan memupuk patriotisme rasmi yang penuh isi simbolik dan istiadatnya. Patriotisme ini adalah kepentingan logik negeri itu sendiri, yang memperoleh kesahan daripada menjadi penyataan kebaikan bersama komuniti politik. Tugu Negara dan Hari Pahlawan dan upacara peringatan adalah contoh bagi jenis patriotisme ini. Selalunya patriotisme rasmi diatur oleh protokol, dengan kaedah-kaedah tertentu untuk mengendali bendera, atau jaminan atau penunjukan kesetiaan tertentu.

Kepentingan pupuk semangat patriotisme

Patriotisme juga banyak bergantung kepada tindakan simbolik, seperti mempamerkan bendera, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan berunsurkan kenegaraan secara beramai-ramai, meletakkan pelekat patriotik pada kenderaan, atau apa-apa cara sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara pada peringkat umum. Bagaimanapun, masyarakat sekarang seakan-akan lupa akan pentingnya memupuk semangat patriotisme dalam diri masing-masing. Hal ini kerana kita sering kali melihat anak bangsa kita yang tidak mengambil endah akan isu-isu yang menonjolkan semangat patriotisme seperti bangga akan pencapaian negara dan budaya bangsa, kehendak memelihara ciri-ciri bangsa dan dasar budayanya dan identifikasi dengan ahli-ahli lain dalam bangsa.

Tanpa kita sedar patriotisme memainkan peranan yang sangat penting dalam diri setiap rakyat Malaysia dalam mengekalkan kemerdekaan yang telah kita capai selama ini. Antara signifikasi patriotisme adalah membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum, menjadi pemacu kepada kemajuan negara serta satu pelaburan strategik ke arah keselamatan negara. Demi mencapai persefahaman antara kaum pelbagai usaha telah kerajaan lakukan. Mungkin kita tidak pernah perasan, kebanyakan tema kemerdekaan berkaitan dengan perpaduan rakyat. Antaranya ialah muhibah dan perpaduan, bersatu maju, kebudayaan sendi perpaduan, nasionalisme teras perpaduan dan lain-lain lagi. Dari sini, kita dapat lihat bertapa pentingnya perpaduan sebagai pengikat dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk.

Tanpa perpaduan, rakyat Malaysia yang berbeza bangsa, latar belakang dan agama akan mudah diprovokasi dan diadu domba oleh pihak yang mempunyai kepentingan mereka sendiri. Dengan kefahaman patriotik yang tinggi, pemeliharaan dan pemerkasaan perpaduan dapat dibentuk dengan mudah. Dengan itu, peristiwa yang dapat menggugat keamanan negara seperti peristiwa 13 Mei dan peristiwa Kampung Medan 4 Mac 2001 dapat kita hindari.

Pernahkah kita berfikir apa yang akan terjadi pada kemajuan negara kita jika nilai patriotisme tidak diterap dalam diri masing-masing? Lihatlah apa yang terjadi melalui peperangan negara Iraq dan Afghanistan, penjajahan Israel ke atas Palestin, Mexico dengan masalah dadah serta Thailand dengan konflik berdarah oleh kumpulan 'Baju Merah' melawan 'Baju Kuning'. Kesan kepada keadaan yang dihadapi oleh negara itu, menyebabkan perkembangan ekonomi negara tersebut terencat serta mengganggu hubungan baik antara negara.

Kestabilan ekonomi sesebuah negara tidak dapat dikekalkan jika masalah-masalah dalaman yang telah mereka hadapi atau sedang harungi, tidak dirungkai. Rakyat Malaysia perlu sedar betapa pentingnya nilai patriotisme bagi memupuk semangat perpaduan yang tinggi sekali gus menentukan hala tuju negara ke arah negara maju yang kukuh. Kejayaan yang telah dicapai pada hari ini bukanlah bergantung kepada individu semata-mata, tetapi merangkumi semua aspek seperti ke arah patriotisme rakyat.

Tidak dinafikan tugas menjaga keselamatan negara diterajui sepenuhnya oleh pihak yang berkenaan seperti polis dan tentera. Namun begitu tanggungjawab ini juga sepatutnya digalas oleh setiap warga negara. Dengan semangat patriotisme yang tinggi, rakyat akan menjadi semakin peka dan prihatin terhadap maruah dan kedaulatan negara. Lantaran itu, jumlah anggota yang diperlukan dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia yang menjadi benteng kedua keselamatan negara dapat dipenuhi. Selain itu, gerakan pihak subversif yang sering menghasut minda masyarakat, kita dapat disekati.

Justeru, patriotisme adalah ejen sosialisasi yang berkesan dan mantap untuk mengekalkan kemerdekaan sehingga pada masa akan datang. Bagaimanapun, terdapat banyak kekangan untuk mencapai objektif ke arah sifat patriotisme ke arah negara bertamadun tinggi. Sehubungan dengan itu, perlunya inti pati semangat ini diselitkan dalam pendidikan negara terutama dari sekolah rendah, bak kata pepatah Melayu "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Oleh itu, pendidik perlu menyemai semangat patriotisme dengan lebih kreatif supaya pelajar dapat menjiwai dengan lebih mendalam.

50 tahun mendatang merdekakah kita lagi?

Namun begitu, isu yang sering kali menjadi persoalan utama ketika ini, masihkah ada kemerdekaan untuk Malaysia pada masa 50 tahun yang akan datang? Hal ini kerana kian hari kita disajikan dengan perilaku anak bangsa yang semakin jauh atau melupai untuk mendalami erti sebenar semangat patriotisme ini. Anak muda sekarang lebih mudah terpengaruh dengan dengan perilaku negatif sehingga leka dalam menghayati semangat patriotik. Contohnya, anak muda lebih mudah terpengaruh untuk turut serta dalam "penentangan jalanan" tanpa mengetahui dengan lebih mendalam akan maksud atau faedah sebenar bantahan itu. Bagi mereka keinginan untuk turut serta dalam kekacauan itu sudah menjadi seperti trend yang dapat mereka banggakan. Walhal, jika situasi ini berterusan, tidak hairanlah andai suatu hari kelak, emosi bertemu emosi, perbalahan atau pergaduhan sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini akan tercetus yang mengakibatkan perpecahan kaum. Mungkin juga keadaan ini akan menyebabkan berlakunya peperangan dalaman antara rakyat dan kerajaan yang akan menghancurkan kestabilan negara kita.

Saya bukannya seorang yang rasis, namun sebagai rakyat bumi tercinta ini tertanya-tanya juga akan sejauh manakah orang bukan Bumiputera menerapkan nilai patriotisme? Apatah lagi selepas 57 tahun mencapai kemerdekaan, mengapakah wujudnya penterjemah dalam mahkamah sedangkan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia? Keadaan ini membuktikan bertapa tahap patriotisme yang telah berkurangan dalam generasi kini. Hilangnya jati diri sebagai anak Malaysia menjadikan mereka lupa pada kewujudan Malaysia pada masa lalu. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan tidak lagi menjadi kebanggaan kepada sesetengah anak-anak Malaysia terutamanya mereka yang berbangsa bukan Bumiputera. Lebih menyedihkan, media sosial menjadi medium kebebasan untuk mereka bersuara tanpa batasan. Malah, ada juga yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran negara, mempersoalkan hak Bumiputera serta merendahkan kekuasaan Raja-raja di Malaysia. Ternyata mereka tidak memahami rukun negara kita, apatah lagi peruntukan Perlembagaan yang membataskan perkara tertentu dalam dibincangkan secara umum.

Bukan kita menuding jari kepada sesiapa atau tidak juga mahu menangkan bangsa Melayu. Umum dapat melihat bangsa lain seperti mengambil mudah isu patriotisme ini. Sebagai contoh, andai orang bukan Bumiputera diajukan soalan seperti "Saya berasa gembira jika dipilih menyertai PLKN", "Saya sangat menghormati pahlawan yang berkorban untuk mempertahankan Malaysia", "Saya sedia berbakti kepada negara" serta soalan lain yang berunsur patriotisme ini, kebanyakan mereka sama ada memberikan jawapan yang negatif atau terus menolak untuk menjawab akan persoalan itu.

Sudah jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mendalami semangat patriotisme terhadap negara sendiri? Mungkin "Ya" atau juga mungkin "Tidak". Oleh sebab itu, patriotisme bukan saja harus dipupuk oleh bangsa Melayu saja, malahan oleh bangsa lain kerana topik ini harus dititik beratkan bagi memastikan Malaysia masih terus merdeka. Hal ini kerana Malaysia adalah sebuah negara unik kerana terdiri dari berbilang bangsa.

Tuntasnya di sini, seluruh rakyat Malaysia pada masa kini adalah tonggak utama dalam memastikan Malaysia agar terus merdeka walau 50 tahun mahupun 100 tahun yang akan datang. Hal ini kerana kemerdekaan yang dicapai adalah daripada kaum yang bersatu padu dalam memastikan Malaysia terus aman dan menepis segala ancaman dari dunia luar agar Malaysia tidak akan dijajah semula. Bak kata Tun Dr. Mahathir: "Mereka yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya".

Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum dan berbeza agama, tentunya tidak mampu menunggu sehingga tahap kritikal. Tentulah kita mengetahui pentingnya patriotisme sebagai rakyat Malaysia seperti perumpamaan "sudah terhantuk, barulah terngadah". Rentetan itu, nilai patriotisme haruslah diterapkan kepada anak muda kita sejak awal pembelajaran lagi agar menjadi pegangan hidup kelak.

Perbaiki masalah perpaduan

Masih belum lagi terlambat untuk memperbaiki masalah perpaduan negara. Yang penting ialah keikhlasan. Barulah semangat patriotik di kalangan rakyat akan dapat disemai. Penggunaan bahasa kebangsaan harus digalakkan secara menyeluruh. Apa yang dilakukan sekarang bagus, tetapi masih belum lagi mencukupi.

Ironinya, apa erti Jalur Gemilang berkibar megah, jika nilai sejarah tidak dihormati? Apa gunanya setiap rumah mengibarkan bendera jika masih ada rakyat yang tidak boleh berbahasa kebangsaan? Apa ertinya negara akan menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-57, jika rakyat yang berbilang bangsa masih lagi syak wasangka sesama sendiri. Semua ini masalah pokok yang harus diselesaikan. Jika tidak sambutan tidak ada erti dan tiada bezanya dengan perayaan lain yang dirayakan di negara ini.

Mungkin pantun klasik karya tokoh pejuang kemerdekaan, Dr Burhanudin al-Helmi dapat memberikan erti kemerdekaan.

Di atas robohan Kota Melaka

Kita dirikan jiwa merdeka

Bersatu-padulah segenap baka

Membela hak keadilan pusaka

Merdekakah kita sebenarnya? Mungkin benar kita telah merdeka dari jajahan, sebaliknya, kita dijajah oleh pemikiran kita sendiri. Terpenjara dalam ruang ciptaan prasangka dusta. Mari kita bebaskan diri kita ini dengan menghayati erti sebenar perit mencapai kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha mengekalkannya. Semoga teriakan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Kali ini penuh dengan getaran daripada jiwa yang benar-benar ingin merdeka.

Berita Harian X