Jumaat, 3 Julai 2015 | 10:22pm

Harimau Muda B serap 6 pemain baharu

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Harimau Muda B, Razip Ismail menyenaraikan enam pemain baharu untuk menyertai latihan pusat bagi menghadapi Kejohanan Piala Newspaper, November ini.

KETUA jurulatih skuad Harimau Muda B, Razip Ismail

Kejohanan jemputan tahunan bawah 21 tahun itu akan berlangsung di Vietnam dari 20 hingga 30 Nov ini.

Pemain berkenaan adalah Mohamad Mohd Faudzi dan Muhammad Naqib Najwan (Felda United FC), Mohd Faizal Abdul Rani (Pahang), Zhafri Yahya (Selangor) serta dua pemain kelab Sime Darby FC, Mohd Akmal Md Zahir dan Faiz Hanif Adnan.

Razip berkata beliau memanggil mereka memandangkan enam pemain yang berada dalam skuad Harimau Muda B ketika ini berusia 22 tahun dan tidak layak beraksi dalam kejohanan itu.

"Jadi dari semasa ke semasa, saya akan cuba memberi peluang dan ruang kepada pemain luar ini atau yang lain untuk dipanggil lagi berlatih bersama supaya saya ada kelompok pemain berusia bawah 21 tahun untuk ke Piala Newspaper," Razip dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ;www.fam.org.my.

"Tapi ia bergantung kepada ruang masa yang ada kerana komitmen kami dalam saingan Liga Singapura (Liga-S) 2015," kata bekas pemain kebangsaan era 80-an itu.

Sesi latihan pusat skuad Harimau Muda B berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya selama sembilan hari bermula 6 Julai ini.

Razip turut mendedahkan keputusan menambah enam pemain berkenaan diambil memandangkan 14 pemain Harimau Muda B kini membantu skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, Korea Selatan dan mereka hanya akan kembali ke tanah air, dua hari sebelum Aidilfitri.

"Jadi hanya 13 pemain Harimau Muda B ketika ini menjalani latihan harian di Wisma FAM," katanya.

Razip berkata enam pemain baharu itu turut akan diuji dalam dua perlawanan persahabatan menenang pasukan Liga FAM pada 10 dan 13 Julai ini.

Beliau berkata skuad itu akan kembali menyambung latihan pada 19 Julai iaitu pada Aidilfitri ketiga sebelum meneruskan saingan dalam Liga-S yang bakal bersambung pada 24 Julai ini.

Katanya, keputusan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang bersetuju menunda perlawanan membabitkan pasukan Harimau Muda B pada 20 Julai ini memberi ruang kepada pemain yang baharu saja pulang dari Gwangju untuk berehat selama beberapa hari sebelum meneruskan aksi dalam Liga-S.

Sebagai rekod, skuad B-21 negara yang dibimbing Kim Swee pernah muncul juara Piala Newspaper pada 2012 selepas mengalahkan Vietnam 1-0 pada aksi final.- BERNAMA

Berita Harian X