X
Jumaat, 3 Julai 2015 | 1:18pm

Jumlah dagangan Malaysia pada Mei naik 1.3 peratus

KUALA LUMPUR: Jumlah dagangan Malaysia pada Mei 2015 meningkat 1.3 peratus kepada RM115.4 bilion berbanding bulan sebelumnya manakala eksport kekal kukuh pada RM60.45 bilion dan import naik 2.76 peratus kepada RM54.94 bilion.

Lebihan dagangan sebanyak RM5.51 bilion dicatatkan pada Mei 2015, menjadikannya lebihan dagangan ke-211 bulan berturut-turut sejak November 1997, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2015, MITI berkata jumlah dagangan bernilai RM574.44 bilion manakala lebihan dagangan dicatatkan pada RM33.71 bilion, dengan eksport berjumlah RM304.08 bilion dan import sebanyak RM270.36 bilion.

"Perbandingan tahun ke tahun, eksport dan import pada Mei 2015, masing-masing menyusut 6.7 peratus dan 7.2 peratus.

"Jumlah perdagangan mengalami penurunan 6.9 peratus berbanding tahun lepas, sejajar dengan prestasi perdagangan negara-negara lain di rantau Asia kesan daripada permintaan global yang lemah," katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2015, MITI berkata eksport barangan perkilangan berjumlah RM240.83 bilion, menyumbang 79.2 peratus jumlah eksport, manakala eksport hasil galian bernilai RM36.65 bilion (12.1 peratus) dan eksport keluaran pertanian bernilai RM24.73 bilion (8.1 peratus).

Eksport barangan perkilangan yang mencatatkan peningkatan adalah barangan elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak RM3.34 bilion; jentera, perkakasan dan peralatan (RM1.68 bilion); keluaran getah (RM707.9 juta); barangan besi dan keluli (RM614.9 juta); barangan optik dan saintifik (RM420.2 juta); kimia dan bahan kimia (RM412.1 juta); serta barangan makanan diproses (RM235.6 juta).

Sementara itu, semasa tempoh dalam kajian, kementerian berkata import turun 2.8 peratus kepada RM270.36 bilion.

"Tiga kategori import utama mengikut penggunaan akhir ialah barang perantara yang bernilai RM160.41 bilion, merangkumi 59.3 peratus daripada jumlah import dan menyusut sebanyak 0.6 peratus, diikuti barangan modal dan barang penggunaan.

Menurut MITI, jumlah import pada Mei 2015 mengurang 7.2 peratus kepada RM54.94 bilion berbanding Mei 2014.

"Tiga kategori import utama mengikut penggunaan akhir ialah barang pengantara bernilai RM31.66 bilion yang menguasai 57.6 peratus jumlah import dan mengurang 8.4 peratus, diikuti barang modal dan barang penggunaan," katanya.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X