Khamis, 2 Julai 2015 | 12:11pm

Penjawat awam mangsa gempa bumi digesa tuntut insurans bencana alam

KUALA LUMPUR: Mangsa gempa bumi Sabah dalam kalangan penjawat awam yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan dinasihatkan supaya mengemukakan tuntutan insurans bencana alam daripada panel insurans masing-masing.

"Tuntutan insurans meliputi kerosakan struktur bangunan seperti dinding, lantai, atap, siling dan sebagainya, serta pecah rumah dengan tujuan mencuri semasa kejadian gempa bumi," kata Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia (BPP) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini.

Selain itu, tuntutan itu turut merangkumi tangki air pecah, perbelanjaan hotel atau rumah sewa dalam tempoh baik pulih yang tidak dapat didiami dan kecederaan orang awam iaitu pihak ketiga akibat kemalangan di dalam rumah.

BPP berharap mangsa yang berkenaan segera mengemukakan tuntutan kepada syarikat insurans/takaful berkenaan untuk mempercepatkan proses pembayaran pampasan.

Mereka yang terbabit boleh melayari laman sesawang http://bpp.treasury.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut atau hubungi meja bantuan banjir di talian 03-8880 2121/2818/2021/2312/2949/2626.

- BERNAMA

Berita Harian X