Khamis, 2 Julai 2015 | 11:26am

Salah guna kuasa, lantik syarikat isteri bekal lembu

SURIADI dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan atas tuduhan menyalahgunakan kedudukan dengan melantik syarikat isterinya. - Foto BERNAMA
SURIADI dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan atas tuduhan menyalahgunakan kedudukan dengan melantik syarikat isterinya. - Foto BERNAMA

KUANTAN: Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin, Suriadi Abdul Jalal dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, sebentar tadi, kerana menyalahgunakan kedudukannya dengan melantik syarikat isterinya bagi membekalkan 79 lembu untuk satu projek PPK Rompin di Rompin, empat tahun lalu.

Suriadi, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pada prosiding berkenaan, pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syafinaz Shahbudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X