Selasa, 23 Jun 2015 | 12:14am
SEORANG budak lelaki diperiksa suhu badannya oleh petugas sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand. - Foto AP
SEORANG budak lelaki diperiksa suhu badannya oleh petugas sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand. - Foto AP
SEBAHAGIAN pelancong asing memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dijangkiti virus MERS ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - Foto Fariz Iswadi Ismail
SEBAHAGIAN pelancong asing memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dijangkiti virus MERS ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Wabak MERS: Pelajar Malaysia di Korea Selatan tak perlu saringan

SEORANG pekerja kesihatan Korea Selatan menyembur penyelesaian antiseptik di sebuah kampung di Wilayah Sunchang. - Foto AFP
SEORANG pekerja kesihatan Korea Selatan menyembur penyelesaian antiseptik di sebuah kampung di Wilayah Sunchang. - Foto AFP

PELAJAR Malaysia di Korea Selatan dibenarkan pulang ke tanah air sempena cuti semester mulai Julai ini tanpa perlu menjalani saringan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS-CoV).

Namun, bagi menjamin kesihatan dan usaha membendung penularan wabak itu, mereka disaran mengikuti langkah pencegahan serta larangan mengunjungi hospital yang merawat pesakit sindrom terbabit.

Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Korea, Ahmad Dahlan Zolkipli, berkata Korea Selatan menyenaraikan senarai 29 hospital yang merawat pesakit MERS-CoV.

Beliau berkata, pelajar dan rakyat Malaysia di negara itu dinasihatkan supaya tidak mengunjungi hospital berkenaan, serta mengelak daripada berada di lokasi tumpuan ramai.

AHMAD Dahlan Zolkipli. - Foto NSTP
AHMAD Dahlan Zolkipli. - Foto NSTP

"Kira-kira 300 pelajar yang berdaftar dengan PPMK, dijangka pulang ke tanah air sempena Aidilfitri dan cuti semester mulai awal bulan depan. Setakat ini, tiada halangan atau keperluan untuk menjalani saringan MERS-CoV sebelum berlepas pulang, kecuali pelajar yang menunjukkan petanda awal dijangkiti wabak berkenaan.

"Berdasarkan laporan dan maklumat kedutaan, semua individu dijangkiti MERS-CoV di Korea Selatan adalah penduduk tempatan, tiada kes membabitkan pelajar Malaysia," katanya ketika dihubungi BH di Incheon, baru-baru ini.

Media antarabangsa melaporkan, Korea Selatan kini merekodkan 165 kes MERS-CoV, manakala jumlah kematian akibat wabak itu meningkat kepada 23 orang. Tiga kematian berkenaan termasuk dua jururawat, masing-masing bertugas di hospital dekat selatan wilayah Chungcheong dan Pusat Perubatan Samsung di Seoul.

SAINTIS menguji sampel daripada orang yang baru pulang dari Korea Selatan di Institut Jabatan Kesihatan Sains Perubatan di wilayah Nonthaburi, Bangkok, Thailand. - Foto REUTERS
SAINTIS menguji sampel daripada orang yang baru pulang dari Korea Selatan di Institut Jabatan Kesihatan Sains Perubatan di wilayah Nonthaburi, Bangkok, Thailand. - Foto REUTERS

Ahmad Dahlan berkata, Kedutaan Malaysia di Korea Selatan yang terletak di Hannam Dong, Seoul antara lain turut menyarankan pelajar supaya memantau kesihatan dan bergegas ke hospital sekiranya mempunyai tanda awal MERS-CoV.

"Kerajaan Korea Selatan membekalkan antiseptik (pembersih tangan) di merata tempat, termasuk perhentian bas dan pusat beli-belah bagi mengelak jangkitan wabak ini. Justeru, pelajar yang berkunjung ke tempat berisiko ini diingatkan untuk sentiasa memastikan kebersihan dan memakai penutup mulut," katanya.

Punca MERS

Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) adalah penyakit pernafasan yang berpunca daripada virus korona (MERS-CoV) yang pertama kali dikenal pasti di Arab Saudi pada tahun 2012.

Virus korona tergolong dalam kumpulan virus yang boleh menyebabkan pelbagai sindrom respiratori daripada selesema biasa sehinggalah kepada virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Antara simptom MERS ialah demam, batuk, kesukaran untuk bernafas dan radang paru-paru. Pendarahan di lapisan perut (gastrointestinal), termasuk cirit-birit juga dilaporkan.

Dianggarkan 36 peratus pesakit akibat wabak MERS dilaporkan meninggal dunia.

Walaupun majoriti kes berkaitan penularan wabak MERS adalah berpunca daripada jangkitan antara manusia ke manusia, unta dikenal pasti sebagai perumah kepada MERS-CoV dan haiwan punca kepada jangkitan MERS dalam kalangan manusia. Bagaimanapun, peranan sebenar unta dalam memindahkan bakteria dan cara pemindahannya masih lagi tidak diketahui.

Virus berbahaya itu dilihat tidak mudah berpindah dari seseorang individu kepada individu lain, kecuali dalam keadaan rapat dan tidak bersih atau tidak memakai pelindung.

Saintis dan pakar perubatan masih belum menemui sebarang vaksin atau rawatan khusus untuk pesakit MERS. Rawatan yang diberikan ketika ini adalah dalam bentuk rawatan sokongan berdasarkan keadaan pesakit.

Berita Harian X