Jumaat, 19 Jun 2015 | 6:46pm

F1 GP Austria: Rosberg dahului sesi ujian masa

PEMANDU Mercedes, Nico Rosberg memandu pada sesi ujian masa pertama Formula Satu (F1) Grand Prix Austria. - Foto AP
PEMANDU Mercedes, Nico Rosberg memandu pada sesi ujian masa pertama Formula Satu (F1) Grand Prix Austria. - Foto AP

SPIELBERG (Austria): Nico Rosberg mengatasi rakan sepasukannya dari Mercedes, Lewis Hamilton untuk merekod masa terpantas sesi ujian masa pertama Formula Satu (F1) Grand Prix Austria, di sini, sebentar tadi.

Pemandu kelahiran Jerman berusia 29 tahun yang muncul juara Litar Red Bull Ring tahun lalu itu mencatat masa terpantas 1 minit 10.401 saat.

Begitupun, penyandang juara dunia, Hamilton tidak jauh ketinggalan apabila menamatkan sesi ujian di kedudukan kedua terpantas dengan 0.308 saat.

Kedua-dua pemandu Mercedes itu mengharungi sesi kelayakan tanpa sebarang masalah sambil melakukan ujian terhadap daya tarikan dan enjin jentera masing-masing.

Pelumba Finland, Kimi Raikkonen yang memandu Ferrari mencatat masa ketiga terpantas di depan rakan senegaranya, Valtteri Bottas dari Williams, manakala pelumba muda Brazil, Felipe Nasr bersama Sauber, kelima.

Pelumba Red Bull dari Russia, Daniil Kvyat keenam, diikuti rakan sepasukannya dari Australia, Daniel Ricciardo dengan kedua-duanya menggunakan enjin baharu musim ini.

Ia menjadi enjin kelima buat pasukan Red Bull yang menggunakan enjin Renault sekali gus bermakna mereka terpaksa berdepan hukuman penalti 10 kedudukan ketika perlumbaan.

Pelumba Belanda, Max Verstappen melakukan masa kelapan terpantas bersama jentera Toro Rosso di depan pelumba Brazil, Felipe Massa (Williams) dengan pelumba Mexico, Sergio Perez (Force India) melengkapkan kedudukan 10 terpantas.

Bekas pelumba Ferrari, Massa sebelum itu hampir terbabit kemalangan di hentian pit yang membabitkan Ketua Pasukan Ferrari, Maurizio Arrivabene yang mahu melintas jalan.

Massa begitupun sempat menekan brek mengelak daripada kejadian tidak diingini dengan kedua-duanya selepas itu masih mampu ketawa.

Begitupun, seorang lagi pelumba Ferrari yang juga juara dunia empat kali, Sebastian Vettel dihimpit masalah kotak gear yang memaksa mengakhiri sesi ujian masa di kedudukan terakhir.

Dua pelumba McLaren Honda yang juga bekas juara dunia, Jenson Button dan Fernando Alonso masing-masing di kedudukan ke-16 dan 17 selepas bergelut dengan masalah sistem jentera. - AFP

Berita Harian X