Selasa, 16 September 2014 | 12:11pm

Tiada kes virus Ebola di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa sehingga kini tiada kes virus Ebola dikesan di Malaysia, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Justeru, beliau berkata masyarakat tidak perlu panik dengan laporan berita mengenai seorang pelajar asing dari institusi pengajian tinggi swasta ditahan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching, kerana disyaki dijangkiti virus itu.

Beliau menjelaskan pelajar berasal dari Zimbabwe itu yang berada di negara ini sejak Februari lepas, dikuarantin kerana demam, sakit tekak dan batuk sejak Ahad lepas.

"Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) di mana staf hospital hanya mengambil langkah berjaga-jaga.

"Pelajar berkenaan juga tidak mempunyai sejarah perjalanan antarabangsa dan tidak mempunyai hubungan dengan pesakit Ebola dalam tempoh 21 hari sebelum menunjukkan gejala," katanya ketika dihubungi.

Dr Noor Hisham juga menegaskan bahawa jika benar ada kes Ebola di Malaysia, kementerian akan menjadi pihak pertama memaklumkan kepada masyarakat dan juga memberitahu Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Beliau memaklumkan buat masa ini Zimbabwe tidak disenaraikan sebagai negara yang dijangkiti Ebola.

Pelajar berusia 24 tahun itu sebelum ini telah mendapat rawatan di sebuah hospital pakar swasta di Kuching pada Sabtu lepas sebelum dirujuk ke HUS kerana dikhuatiri dijangkiti virus Ebola.

Penyakit Ebola yang juga penyakit demam berdarah yang mencatat kadar kematian tinggi dan boleh menjangkiti manusia dan juga haiwan primat seperti monyet.

Sejak Mac 2014, pihak WHO telah memaklumkan mengenai kejadian wabak Ebola yang melibatkan empat negara di Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria.

Jumlah kes Ebola di dunia setakat 12 September ialah 4,335, termasuk 2,331 kematian.

-- BERNAMA

Berita Harian X