Isnin, 15 September 2014 | 8:00pm

Jihan Muse bakal sertai pengurusan LOL?


ARTIS Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013, Nur Jihan Muse. - Foto Shahrul M Zain

KUALA LUMPUR: Desas desus kini bertiup kencang mengatakan pemenang kategori Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013, Nur Jihan Muse bakal menyertai syarikat pengurusan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment.

Jika benar bagai didengari, Jihan akan sebumbung dengan Dafi, Rozita Che Wan, Sherry Ibrahim dan Sabhi Saddi. Ketika dihubungi tadi, Jihan memberitahu beliau belum membuat keputusan lagi.

"Memang belum ada kata putus kerana saya agak sibuk dengan komitmen seni," katanya.

Kini komitmen sepenuhnya diberikan sebagai pengacara untuk Diari Akademi Fantasia (AF) 2014 selain menjadi peserta untuk program SuperSpontan. Jihan melalui dunia seninya selepas kemenangan di ABPBH 2013 dengan cukup baik dan rezeki cukup murah buatnya.

"Saya mengambil masa panjang untuk berfikir sama ada perlu melepaskan tawaran mengacarakan AF2014 ini atau tak. Kira-kira sebulan juga sebelum saya bersetuju untuk memikul mandat ini.

"Saban minggu, hampir setiap hari komitmen saya bersama AF2014. Tetapi Alhamdulillah saya diberi kebebasan untuk mewarnakan program itu dengan cara sendiri," katanya.

Menurut Jihan, beliau sedar menggalas tugas sebagai hos Diari AF 2014 cukup berat apatah lagi skeptikal masyarakat terhadap program ini cukup besar jangkaannya.

"Ramai yang beranggapan selepas banyak musim diterbitkan, AF sudah kedengaran tidak relevan. Tapi difikir balik, saya terima saja tawaran ini. Soal sama ada, AF2014 boleh diterima atau tidak, semua itu kita tidak mampu menjangka," katanya yang cukup merindui untuk ke lokasi penggambaran drama.

Dalam perkembangan lain, nama Jihan turut dicalonkan dalam Anugerah Lawak Warna 2014 yang akan berlangsung Jumaat ini. Antara kategori yang nama beliau dicalonkan ialah kategori Artis Lawak Wanita Paling Popular dan Pelakon Komedi Wanita Terbaik (TV).

"Saya juga akan membuat persembahan dan menjadi penyampai trofi pada malam itu nanti," katanya.

44 dibaca
Berita Harian X