Sabtu, 6 Jun 2015 | 12:01am

Bidong simpan 140 telaga maut


DIBINA dengan kedalaman hingga lebih 10 meter, lebih 140 telaga tinggalan pelarian Vietnam di Pulau Bidong, Setiu, Terengganu, menyimpan seribu satu misteri.

Digelar 'telaga maut', telaga kering itu dikatakan dibina oleh pelarian Vietnam yang mendiami pulau pelarian itu pada 1978, selepas mereka melarikan diri ke negara ini akibat pergolakan politik dan perang Vietnam.

Mencungkil rahsia dan misteri lebih 140 telaga buatan manusia yang terdapat di pulau itu sepanjang didiami lebih 100,000 pelarian Vietnam, bekas Ketua Pengawal Pulau Bidong yang juga anggota RELA, Mohd Salleh, 61, berkata ia dibina bertujuan mendapatkan bekalan air untuk pelarian berkenaan.

Dia yang pernah ditugaskan mengetuai kawalan di pulau yang juga dikenali sebagai pulau perlindungan itu selama setahun pada 1996 berkata, sejak pulau itu dikosongkan, keadaannya dipenuhi semak samun dan pokok liar yang meninggi.

"Disebabkan itu, jika sesiapa yang datang dan mahu meneroka pulau ini tetapi tidak dipandu oleh orang yang mengetahui selok belok pulau ini, amatlah bahaya. Ini kerana 'telaga maut' ini bila-bila masa boleh 'menelan' mangsanya. Jika terjatuh ke dalam telaga ini, mustahil untuk diselamatkan kerana ia amat dalam.


PEMANDANGAN Pulau Bidong. - Foto Syahirah Abdullah

"Malah, kami sendiri tertanya-tanya bagaimana telaga ini dibina pelarian Vietnam ketika itu dengan kudrat dan dan serba kekurangan. Ada juga mitos mengatakan mereka menggali telaga itu untuk mencari emas, tetapi cerita itu tidak benar," katanya yang ditemui di kediamannya di Kampung Kubang Badak, Kuala Terengganu.

Bapa enam anak itu berkata, kehadiran pelarian Vietnam di negeri ini bermula apabila sekumpulan ratusan mereka dikatakan mula mendarat di Kelulut, Marang, sebelum pihak berkuasa memindahkan mereka ke pulau besar di Merang, Setiu untuk perlindungan sementara.

Bermula daripada hanya ratusan pelarian menumpang teduh di Pulau Bidong, ia kemudiannya diikuti oleh beberapa siri pendaratan lain sehingga meningkat kepada 1,400 pelarian pada 1977. 

Pada Ogos 1978, melalui pewartaan PU(A) 227, kerajaan negeri Terengganu bersetuju mengisytiharkan Pulau Bidong sebagai pusat penempatan pelarian Vietnam sehingga ratusan ribu pelarian kemudiannya mendiami pulau itu.


PULAU Bidong tersimpan 140 telaga tinggalan pelarian Vietnam. - Foto Syahirah Abdullah

Tindakan itu dibuat selepas berakhirnya perang Vietnam yang menyaksikan berjuta rakyatnya lari meninggalkan negara itu dan mencari perlindungan di negara jiran.

Mengulas lanjut, Mohd berkata, ketika pulau itu didiami pelarian Vietnam, hanya ada dua telaga air asal untuk membekalkan air bersih. 

Namun, ia tidak cukup untuk menampung keperluan ratusan ribu pelarian di situ. Disebabkan itu, mereka mengambil inisiatif menggali telaga sendiri kononnya untuk mendapatkan sumber air.

"Bagaimanapun, usaha mereka tidak berhasil kerana semua telaga yang digali tidak mengeluarkan air. Namun, apa yang boleh dikagumi, mereka berjaya menggali telaga yang kedalamannya menyamai tinggi sebuah tiang elektrik.

"Namun, telaga itu tidak mengeluarkan sumber air. Tidak pasti pula apa sebabnya ia tidak mengeluarkan air walaupun digali sangat dalam," katanya yang ditugaskan menjaga pulau itu bersama tujuh lagi anggota RELA lain.

Beliau berkata, ketika itu pulau itu sudah dikosongkan daripada penempatan pelarian Vietnam, namun banyak khazanah dan warisan yang ditinggalkan di situ menyebabkan kerajaan mengeluarkan kos untuk menugaskan anggota RELA mengawal pulau yang juga dikenali sebagai pulau perlindungan itu daripada pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab.


BEKAS Ketua Pengawal Pulau Bidong, Mohd Salleh. - Foto Syahirah Abdullah

Katanya, ketika beliau ditugaskan di situ, beliau mendiami bilik kecil di sebuah bangunan tinggi yang dibina di situ, bagi membolehkannya memantau keadaan di situ.

Sebelum ditugaskan di pulau itu Mohd berkata, beliau sering mendengar pelbagai cerita misteri yang dikatakan menghantui beberapa rakannya yang pernah bertugas di pulau itu.

Namun, beliau bersyukur kerana tidak pernah berdepan situasi diganggu makhluk halus, cuma pernah dirinya dituduh membela hantu raya gara-gara kelibatnya dilihat rakan setugas di pulau itu sedangkan ketika itu beliau sedang bercuti menziarah keluarga di kampung.

"Kebiasaannya, kami akan bercuti secara bergilir. Namun, jika saya bercuti pun, saya akan pastikan kami berhubung menerusi alat telekomunikasi yang disediakan. Ada beberapa kali balik bercuti sehari atau dua di kampung untuk menjenguk keluarga.


JETI yang terdapat di Pulau Bidong. - Foto Syahirah Abdullah

"Namun, rakan setugas terkejut apabila saya menghubungi mereka kerana mereka mendakwa nampak saya berada di pulau itu. Memang banyak kisah misteri didengari berlaku di pulau ini, namun saya tidak pernah pula berdepan keadaan pelik seperti rakan yang lain," katanya.

Mohd yang mempunyai lima cucu berkata, ada juga beberapa kisah rakan setugasnya beralih tempat tidur tanpa disedari dan tidak kurang yang mendengar pelbagai bunyian aneh yang mengganggu mereka.

Namun, satu hal yang tidak dapat dinafikannya ialah banyaknya binatang buas yang mengganggu mereka sepanjang bertugas.

"Selepas pulau ini ditutup, banyak binatang buas mengganggu. Berbeza dengan keadaan ketika ratusan ribu pelarian masih mendiami pulau ini. Binatang buas seperti ular dan biawak ditangkap untuk dijadikan makanan mereka," katanya.


TUGU peringatan yang dibina oleh pelarian Vietnam di Pulau Bidong. - Foto Syahirah Abdullah

INFO

  • Selepas Perang Vietnam berakhir pada 30 April, 1975, ribuan rakyat negara itu termasuk dari kalangan profesional dan berpendidikan tinggi dihukum, dipenjara, dibunuh dan dibunuh. 
  • Berjuta orang cuba melarikan diri daripada rejim Komunis.
  • Pulau Bidong adalah sebuah pulau kecil di Terengganu dengan keluasan tiga batu persegi. 
  • Pulau Bidong dibuka secara rasmi sebagai pulau pelarian pada 8 Ogos, 1978 dan ditutup pada 30 Oktober, 1991. Pada masa ia ditutup, lebih 250,000 pelarian ada di pulau ini.
  • Lebih 240,000 pelarian Vietnam di Malaysia kemudian diterima oleh negara ketiga, kebanyakannya oleh Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Perancis.
  • Selepas Pulau Bidong sebagai kem pelarian, lebih 9,000 pelarian dihantar pulang kembali ke Vietnam oleh kerajaan Malaysia.
Berita Harian X