Isnin, 1 Jun 2015 | 12:06am

Shukri Yahaya tak suka sorok


KUALA LUMPUR: Hero kegilaan ramai yang kian laris di pasaran lakonan, Shukri Yahaya tidak melihat statusnya sebagai tunangan orang membuatkan sahamnya jatuh.

Di kala namanya sedang memuncak menjadi perhatian pengarah dan produksi, Shukri, 27, turut kalis godaan dengan wanita dan pelakon yang berdampingan dengan beliau.

PELAKON, Shukri Yahaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Shukri Yahaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Niatnya hanya satu - berkongsi bakat yang ada, sekali gus mencari rezeki.

Sedar dengan kemungkinan sentiasa digandingkan dengan pelakon cantik di negara ini, aktor yang pernah dikatakan iras pelakon Filipina, Jericho Rosales ini meletakkan cinta dan setianya pada tunang di tahap paling utama.

Shukri sudah setahun bertunang dengan bekas pelakon, Tya Adnan atau nama penuhnya, Siti Nurfatihah Ahmad Adnan yang berusia 24 tahun pada 11 Januari tahun lalu.

Mereka memilih untuk melangsungkan pertunangan selepas tiga tahun menyulam cinta.

Filem Ular arahan Jason Chong menjadi titik perkenalan pasangan ini.

SHUKRI Yahaya bersama Tya Adnan. - Foto ihsan Instagram shukriyahaya
SHUKRI Yahaya bersama Tya Adnan. - Foto ihsan Instagram shukriyahaya

"Saya tidak menyembunyikan status saya sebagai tunangan orang dan itu secara jelas memberikan isyarat bahawa saya sudah dimiliki. Adapun godaan dari wanita...saya tidak tahu sama ada niat mereka hanya sekadar berkawan atau sebaliknya.

"Tapi saya selalu fikir positif dan anggap kalau ada wanita nak dekat pun, mereka hanya sekadar menambah kenalan.

"Saya sendiri mahu terus fokus kerja dan tak mahu fikir perkara remeh temeh sebegini," katanya kepada BH PLUS baru-baru ini ketika menghadiri tayangan episod akhir Dewi Remaja 2014/2015 di Bandar Utama, di sini.

Ketika ini, drama Dia Isteri Luar Biasa lakonan Shukri bersama Fathia Latiff sedang hangat disiarkan di TV3 menerusi slot Akasia.

PELAKON drama Dia Isteri Luar Biasa, Fathia Latiff dan Shukri Yahaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON drama Dia Isteri Luar Biasa, Fathia Latiff dan Shukri Yahaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ditanya bila dia dan Tya akan ke gerbang perkahwinan Shukri mengakui belum merancang lagi untuk berkahwin.

"Ada rezeki dan jodoh, Insya-Allah kami akan kahwin. Saya nak kerja kuat dulu, kumpul harta banyak-banyak," katanya.

Memilih untuk mendedahkan status diri sebagai tunangan orang di saat nama digilai bagi Shukri bukan satu masalah atau halangan besar.

Malah andai sudah membuat keputusan untuk berkahwin pun suatu hari nanti, ia bukan tekanan buat Shukri.

Selain berlakon, Shukri juga sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dan ia dilihat sebagai persediaan memikul tanggungjawab sebagai suami orang dan jaminan masa depan.

"Saya lihat ramai pelakon lelaki di negara kita yang sudah berkahwin tetapi masih kekal diminati. Lihat saja Rosyam Nor, Aaron Aziz, Adi Putra, Izzue Islam contohnya.

"Saya percaya pada akhirnya bukan soal status yang menjadi ukuran atau ancaman turun naik fasa kerjaya sebaliknya saya optimis bakat juga yang menjadi pertaruhan.

"Saya berharap janganlah nilai saya dari status. Kalau lakonan kita bermutu dan memberi komitmen terbaik, kelompok yang meminati kita itu akan sentiasa ada...Insya-Allah," katanya.

Ditanya sama ada status bertunang menjejaskan tumpuan dan mood semasa berlakon, beliau berkata: "Selagi gandingan saya boleh memberikan 'mood' dan 'feel' yang diingini, saya juga tak ada masalah untuk memberikan yang sama.

"Lakonan berbalik kepada soal persefahaman dan keserasian. Jadi kena perlu senantiasa berbincang untuk menghidupkan watak dan karakter.

"Saya bukan masuk set penggambaran untuk berlakon semata-mata atau atas paksi kerja sahaja. Di luar set pun, saya boleh diajak berkawan," katanya.

SHUKRI Yahaya sering diberi peranan antagonis dan cuma kebelakangan ini mula ditawarkan watak romantik. - Foto Aziah Azmee
SHUKRI Yahaya sering diberi peranan antagonis dan cuma kebelakangan ini mula ditawarkan watak romantik. - Foto Aziah Azmee

Sepanjang kerjaya seninya, Shukri memberitahu dia sering diberi peranan antagonis dan cuma kebelakangan ini mula ditawarkan watak romantik.

"Saya suka mencuba pelbagai watak. Watak gay pun pernah cuba. Sekarang selalunya tawaran lebih kepada watak romantik atau komedi romantik. Tapi kalau nanti ada peluang bawa watak psiko atau bermain dengan emosi, saya takkan menolak," katanya.

Mengenai ada yang melabelkannya sebagai Jericho Rosales Malaysia, Shukri berkata ia melihatnya daripada sudut positif.

SHUKRI Yahaya pernah diberi jolokan Jericho Rosales Malaysia. - Foto Aziah Azmee
SHUKRI Yahaya pernah diberi jolokan Jericho Rosales Malaysia. - Foto Aziah Azmee

"Apabila ramai cakap macam itu, saya mula 'google' nama termasuk hasil kerja lakonannya. Bangga juga ada yang lihat saya sepertinya.

"Dia bukan calang calang pelakon di Filipina. Cuma saya tak mahu terus dibayanginya. Saya nak pula lepas ini kalau orang lihat Jericho orang akan berkata dia seperti saya pula," katanya sedang melunaskan baki penggambaran drama Surah Buat Maisarah bersama Syatilla Melvin untuk slot Samarinda TV3.

Ditanya mengenai tunangnya Tya Adnan, Shukri berkata, Tya tidak berlakon sekarang dan memilih untuk menceburi dunia perniagaan berasaskan produk wanita.

Info Shukri Yahaya:

  • Pernah disenaraikan Artis Baharu Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2014.
  • Sejak digandingkan dengan Dayana Roza dalam drama Asam Pedas Untuk Dia, Shukri kian digilai peminat.
  • Pernah belajar di Sekolah Menengah Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
  • Pernah dicalonkan untuk kategori Pelakon Harapan Lelaki dalam Festival Filem Malaysia ke-26 untuk filem Ular tetapi rezeki berpihak kepada Zul Ariffin untuk filem Penanggal.
Berita Harian X