Isnin, 1 Jun 2015 | 12:00am
ANTARA wang palsu yang dirampas daripada suspek sindiket wang palsu yang ditunjukkan pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
ANTARA wang palsu yang dirampas daripada suspek sindiket wang palsu yang ditunjukkan pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Peniaga dalam talian sasaran sindiket wang palsu

ANDA menjual barangan secara dalam talian? Sedarkah, anda mungkin ditipu sindiket dengan membayar menggunakan wang palsu.

Polis mengesan sindiket ini yang menggunakan wang palsu untuk membayar barangan yang dibeli secara dalam talian. Selain itu, sindiket berkenaan turut mencari mangsa di laman sesawang.

Sindiket yang bergerak secara berkumpulan itu dikatakan turut pakat dalam memproses wang palsu. Ia sukar untuk dibezakan dengan wang asli.

Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyasarkan individu yang menjual barangan seperti telefon bimbit di laman sesawang.

Sindiket kemudiannya menghubungi mangsa dan membuat janji temu di sesuatu kawasan.

Selepas berpuas hati dengan barangan yang dijual, sindiket membuat bayaran menggunakan wang palsu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata mangsa perlu berwaspada selain mengarahkan pembeli membuat pembayaran dengan memindahkan wang menerusi bank atau mesin ATM.

 GALERI Numismatik di Sasana Kijang, Bank Negara. - Foto Salhani Ibrahim
GALERI Numismatik di Sasana Kijang, Bank Negara. - Foto Salhani Ibrahim

Ini berikutan wang palsu boleh dikesan oleh bank, sekali gus menyelamatkan penjual menjadi mangsa sindiket.

Sebelum ini, polis dilaporkan menahan tiga lelaki di sekitar Cheras dan Brickfields di ibu kota, dipercayai anggota sindiket wang palsu.

Hasil serbuan itu, polis merampas 20 keping wang RM100 dan dua keping wang RM50, dipercayai palsu, selain kerambit dan empat telefon bimbit yang dipercayai dibeli secara dalam talian.

Turut dirampas, dua unit penyembur cat, 50 helas kertas A4 tertera cetakan wang RM50 yang baru diproses, alat pengesan wang, pengering rambut, komputer riba serta peralatan memotong.

Berita Harian X