Sabtu, 30 Mei 2015 | 12:01am
KEBOLEHAN atau kecenderungan yang unik dan tersendiri antara faktor membantu seseorang mencari kerja dengan mudah. - Gambar hiasan

Tip Kerjaya: Panduan memohon pekerjaan

CALON perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sebelum menghadiri temu duga. - Gambar hiasan

MUNGKIN ramai pelajar yang masih memikirkan mengenai pekerjaan yang harus dipilih. Sebenarnya, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian apabila mencari dan memilih pekerjaan sesuai. Tambahan pula pencarian itu adalah pengalaman pertama dalam hidup pelajar. Anda boleh jadikan perkara berikut sebagai panduan sebelum memohon pekerjaan.

1. Pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan dan kemahiran

Anda perlulah memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran anda. Malah, bakal majikan akan memilih calon berdasarkan kelulusan dan kemahiran yang diperlukan pekerjaan itu.

Misalnya, jika anda berkelulusan bidang undang-undang, maka pekerjaan yang sesuai adalah sebagai peguam, hakim atau pensyarah undang-undang. Kelulusan dan kemahiran yang bersesuaian akan memudahkan anda menjalankan tugas yang diberikan majikan.

2. Gaji dan imbuhan yang setimpal

Gaji yang diminta biarlah setimpal dengan kelulusan. Anda tidak seharusnya meletakkan gaji yang terlalu tinggi apabila memohon pekerjaan.

Jika meletakkan gaji yang tinggi berbanding dengan kelulusan, hal ini akan memberi persepsi awal yang tidak baik oleh majikan terhadap anda.

Buatlah carian dan penyelidikan dari pelbagai sumber untuk mengetahui anggaran gaji yang ditawarkan di pasaran. Pendapatan hasil kerja yang dilakukan sangat penting dalam membina kesejahteraan hidup anda.

KELULUSAN menjadi pemangkin untuk memperoleh gaji yang baik. - Gambar hiasan

3. Minat yang mendalam

Anda seharusnya mempunyai minat yang mendalam terhadap pekerjaan yang dipohon. Sebelum memohon, anda perlu bertanya diri sendiri sama ada benar-benar berminat dengan pekerjaan yang dipohon atau tidak.

Jika kurang pasti, cuba bertanya kepada rakan atau orang yang lebih berpengalaman dalam bidang itu bagi mendapatkan pandangan dan maklumat mengenainya.

Sekiranya ditawarkan, sedangkan tidak atau kurang berminat, anda bakal menghadapi masalah dan tidak bersemangat semasa melakukan kerja berkenaan.

Jika kerjaya yang dipilih itu selari dengan minat, sudah tentu wujud keseronokan untuk bekerja, lantaran kreativiti akan bertambah serta tidak berasa jemu bekerja.

4. Kebolehan

Setiap individu mempunyai kebolehan atau kecenderungan yang unik dan tersendiri. Faktor ini boleh membantu dan dijadikan panduan seseorang itu mencari kerja.

Ada individu yang suka sesuatu pekerjaan yang mencabar. Jadi antara bidang yang sesuai adalah pegawai tentera, polis atau bertugas dengan syarikat minyak di tengah lautan.

Kelayakan ijazah yang diperoleh tidak semestinya dijadikan sebagai asas untuk menceburi bidang pekerjaan yang dipilih atau diminati, sebaliknya, kebolehan atau kecenderungan mungkin menjadi faktor penentu.

Berita Harian X