Isnin, 25 Mei 2015 | 11:23am

Khazanah lantik pentadbir untuk MAS

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), pemilik tunggal Penerbangan Malaysia (MAS) melantik Datuk Mohammad Faiz Azmi sebagai Pentadbir MAS, berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan pentadbir berkenaan akan memudahkan pemindahan aset dan liabiliti terpilih daripada MAS kepada syarikat baharu, Malaysia Airlines Bhd (MAB) menjelang 1 September 2015.

Khazanah dalam kenyataan hari ini berkata, MAS akan terus beroperasi hingga 31 Ogos 2015, termasuk pada hari itu.

Seterusnya, MAB akan mengambil alih dan mengendalikan operasi syarikat penerbangan itu pada 1 September 2015.

Pelantikan itu dilaksanakan secara sukarela oleh Khazanah dan dibuat mengikut Akta Malaysian Airline System Bhd (Pentadbiran) 2015 (Akta MAS), yang diluluskan Parlimen pada tahun lalu.

Akta MAS memperuntukkan kaedah yang berkesan, cekap dan lancar bagi peralihan perniagaan, harta, hak, liabiliti dan hal ehwal MAS kepada MAB.

Peralihan daripada MAS ke MAB adalah satu daripada 12 komponen penting mengikut Pelan Pemulihan MAS (PPM) yang diumumkan pada 29 Ogos 2014.

PPM bertujuan menyediakan garis panduan penyusunan semula syarikat penerbangan itu bagi mengembalikannya ke landasan keberuntungan yang mapan.

PPM turut menyatakan pendanaan pelaburan bersyarat oleh Khazanah yang berjumlah hingga RM6 bilion yang akan diagihkan secara berperingkat-peringkat dan tertakluk kepada syarikat penerbangan itu memenuhi pelbagai syarat ketat yang ditetapkan.

Khazanah adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk menguruskan aset komersial milik Kerajaan dan melaksanakan pelaburan strategik. Khazanah terbabit dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, institusi kewangan, penjagaan kesihatan, penerbangan, infrastruktur, riadah & pelancongan, hartanah kreatif & media, pendidikan dan inovasi & teknologi.

Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd.

Berita Harian X