Khamis, 21 Mei 2015 | 4:08pm

Jurubank mengaku tidak bersalah kes tipu

KUALA LUMPUR: Seorang jurubank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan menipu membabitkan wang berjumlah RM100,400 tahun lepas.

Muhammad Rafeel Ramlee, 26, bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa menipu Ravindran Sathiaseelan, 51, pengurus syarikat, dengan memperdayakannya sehingga mempercayai urusan permohonan memperbaharui permit pekerja asing adalah wujud sehingga mendorong Ravindran menyerahkan wang tunai RM35,000 kepada tertuduh.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Muhammad Rafeel didakwa menipu Lim Kooi Foo, 52, dan Tan Eng Eik, 52, kedua-duanya ahli perniagaan bagi urusan yang sama sehingga mendorong Lim dan Tan menyerahkan wang tunai masing-masing berjumlah RM46,650 dan RM18,750.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi iaitu di Jalan Syed Putra dan di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, di sini pada Disember 2014 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ravindran Selvaraj menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, namun peguam Mohd Faizi Che Abu yang mewakili tertuduh, memohon jaminan itu dikurangkan.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Muhammad Rafeel membayar jaminan itu. Mahkamah menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan semula kes.

- BERNAMA

Berita Harian X