Isnin, 18 Mei 2015 | 10:14pm

Rugi lebih RM0.5 juta disamun 3 lelaki Amerika Latin

SHAH ALAM: Seorang lelaki kerugian lebih RM500,000.00 selepas disamun tiga lelaki Amerika Latin dalam satu kejadian di Seksyen 15, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lelaki berusia 42 tahun itu dikatakan baru selesai mengeluarkan wang berjumlah RM449,000.00 di sebuah bank di Taipan, USJ 9, Subang Jaya sebelum didatangi tiga suspek memaklumkan tayar pacuan empat roda yang dinaikinya pancit.

Mangsa bagaimanapun tidak mengendahkan suspek dan terus menuju ke pejabat rakannya di Jalan Gergaji, Seksyen 15.

Setibanya di lokasi kejadian, mangsa terkejut apabila mendapati tayarnya yang sebelum ini dalam keadaan baik tiba-tiba pancit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ruslan Abdullah, berkata ketika mangsa turun untuk melihat keadaan tayarnya, seorang daripada tiga suspek bertindak melarikan beg berisi wang yang baru dikeluarkan mangsa.

"Selain wang tunai, suspek turut melarikan sebuah telefon bimbit, sebuah laptop dan dompet milik mangsa.

"Siasatan masih lagi dijalankan dan polis sedang mengesan ketiga-tiga suspek," katanya.

Berita Harian X