Jumaat, 15 Mei 2015 | 11:55am

SPRM sedia timbang batal pembekuan akaun dengan syarat

SIBU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju untuk mempertimbangkan pembatalan pembekuan akaun syarikat-syarikat yang disyaki terbabit dalam pembalakan haram di Sarawak, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata, pertimbangan itu perlu kerana ada antara syarikat terbabit mempunyai lebih 1,000 pekerja dan jika akaun dibekukan, pekerja akan menerima kesan yang teruk.

"Ini sekali gus akan menjejaskan kebajikan pekerja dan saya mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana bersetuju dengan rayuan terhadap syarikat yang mempunyai ramai pekerja," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, di sini, pagi tadi.

Sementara itu, sebanyak 1,785 batang balak bernilai RM1 juta dan jentera bernilai RM800,000 turut dirampas untuk dijadikan barang kes dalam operasi itu manakala 14 individu iaitu pengarah dan pengurus syarikat pembalakan sudah dipanggil untuk membantu siasatan.

Berita Harian X