Rabu, 13 Mei 2015 | 12:17am
JURULATIH Urban Island Divers, Nurul Azlifah Mohd Ismail. - Foto Aziah Azmee
NURUL Azlifah Mohd Ismail bersama suami, Abdul Rahman Jamaludin. - Foto Aziah Azmee
NURUL Azlifah Mohd Ismail menyifatkan ketika berada dalam air, bukan sekadar menikmati keindahan hidupan laut tetapi membawa pengertian lebih jauh.

Dahulu Azlifah takut air, kini jadi jurulatih menyelam


SELEPAS 13 tahun takutkan air akibat dilanggar jet ski sewaktu bercuti di Pulau Tioman, Pahang, Nurul Azlifah Mohd Ismail, 39, melawan perasaan demi keluarganya yang meminati sukan air sehingga akhirnya beliau menjadi jurulatih skuba profesional.

Insiden dilanggar jet ski berkenaan ketika berusia 19 tahun itu membuat beliau fobia dengan air sehinggakan untuk memandang laut atau sungai sekalipun, beliau begitu cemas sekali.

"Selepas dilanggar jet ski oleh kawan sendiri, saya jadi takut dengan air. Akibat kejadian itu saya mengalami cedera parah, patah rusuk, pendarahan dalaman dan kecederaan pada bahagian paru-paru dan perut.

"Keadaan itu begitu cemas. Pada awalnya, saya di hantar ke hospital berdekatan menaiki helikopter. Oleh kerana, kurang kelengkapan di hospital dan tenaga pakar di situ, saya kemudian dibawa pula ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

"Saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan dan terpaksa ditahan selama beberapa minggu sebelum dibenarkan keluar," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pengalaman ngeri Nurul Azlifah itu membuatkan anak kelahiran Johor Bahru itu serik untuk mendekati air atau aktif dalam apa saja aktiviti membabitkan sukan air seperti berenang atau menyelam.


NURUL Azlifah Mohd Ismail pernah bertugas sebagai pramugari selama 10 tahun. - Foto Aziah Azmee

Kuatkan semangat

Bagaimanapun, ibu kepada enam anak ini, mula mengubah pendirian, membuang jauh rasa takut dan trauma akibat kemalangan ngeri selepas mendapat semangat yang kuat daripada orang di sekelilingnya.

"Selepas saya berkahwin dan mempunyai anak, trauma itu semakin hilang apabila semua ahli keluarga meminati sukan air. Sebelum ini, saya suka berenang dan gemar mengikuti aktiviti sukan air. Jadi, saya mula kuatkan hati untuk melawan rasa takut. Ikhlas saya cakap, semua ketakutan saya dibuang demi anak dan suami.

"Bagaimanapun, pada awalnya ia bukan sesuatu yang mudah. Selama 13 tahun tidak berenang dan masuk dalam air, membuatkan saya jadi kekok, trauma, takut dan segala macam perasaan ada dalam hati," katanya.

Justeru, pada tahun 2008 menjadi saksi kepada semua ahli keluarga dan rakan beliau dengan semangat berkobar-kobar Nurul Azlifah mula bermain sukan air demi anak dan suami yang menggemari sukan terbabit.

"Anak saya berusia 11 hingga 20 tahun dan suami, Abdul Rahman Jamaludin adalah insan yang banyak membantu untuk mengembalikan semangat yang hilang sejak 13 tahun lalu," katanya.


ANAK-ANAK Nurul Azlifah turut didedahkan dengan aktiviti skuba.

Menangis pertama kali jejak air

Justeru, Nurul Azlifah mula menyertai aktiviti penerokaan menyelam skuba (DSD) di Langkawi. Kali pertama menjejakkan kaki dalam air, saya cuba memberanikan diri. Saya terlebih dulu memberitahu jurulatih berhubung pengalaman kemalangan yang saya alami supaya dia faham masalah ketakutan saya.

"Ketika turun menyelam daripada atas bot, jantung berdebar, tetapi saya kuatkan diri demi anak. Memang sangat takut dan saya tidak lepas memegang jurulatih ketika berada di dasar laut.

"Tetapi apabila berada dalam air, lama kelamaan perasaan takut hilang. Saya tenang melihat dunia laut dan macam-macam benda yang tidak pernah terfikir dapat dilihat. Ia bagaikan satu kehidupan baharu untuk saya. Selalunya untuk pelajaran pertama, jurulatih hanya berada bersama individu selama 15 minit. Berbeza dengan saya, jurulatih menemani bersama dalam air selama 40 minit. Ketika berada di atas bot, saya menangis sepuas-puasnya. Sejak itu saya kembali berani," katanya.


SEBAHAGIAN pelajar yang mengikuti latihan di bawah bimbingan Nurul Azlifah Mohd Ismail.

Temui dunia baharu

Kata bekas pramugari ini, dunia lautan cukup mengagumkan dan anugerah Allah ini cukup besar nikmatnya.

Mana tidaknya, selepas menemui 'cinta baharu' dalam dunia marin, beliau mula mengikuti beberapa latihan dan ujian untuk melengkapkan diri sebagai jurulatih skuba profesional.

Siapa menyangka daripada ketakutan yang begitu teruk terhadap sukan air, akhirnya Nurul Azlifah sudah meneroka kerjaya baharu sebagai jurulatih skuba profesional.

"Saya sudah menemui kehidupan baharu dalam dunia lautan. Sebelum ini, saya bertugas sebagai pramugari. Selama 10 tahun dalam bidang itu, saya seronok mengelilingi dunia.

"Kini kerjaya sebagai jurulatih skuba secara profesional membuatkan saya sentiasa bersemangat untuk membimbing orang lain dalam kehidupan," katanya.

"Malah lebih hebat lagi, personaliti beliau juga berubah daripada seorang pendiam kepada wanita yang peramah, lebih berkeyakinan dan berkebolehan membaca peribadi seseorang.

"Saya kini gembira kerana menjadi guru kepada peminat skuba. Keluarga juga tidak membantah," katanya.


NURUL Azlifah Mohd Ismail bersama peserta yang menjalani latihan menyelam.

Kongsi minat sama

Nurul Azlifah yang juga pemilik Urban Island Divers di Pantai Teluk Dalam, Pulau Perhentian ini, mengakui selepas berada dalam kerjaya alam marin ini, beliau lebih rapat dan banyak meluangkan masa bersama keluarga.

"Saya bertuah mempunyai keluarga yang suka melakukan minat yang sama. Memang minat saya pada laut. Jadi, selain mencari rezeki menerusi bidang ini, pelbagai aktiviti dapat dilakukan bersama seisi keluarga. Ini menjadikan hubungan kasih sayang kami semakin utuh.

"Semua anak saya mempunyai kebolehan menyelam. Kami kongsi pengalaman dan pengetahuan dalam bidang marin bersama. Jika kewujudan gajet menjarakkan ikatan kekeluargaan apabila anak asyik sibuk melayari laman sosial, kami pula menjadikan aktiviti ini untuk merapatkan hubungan dengan mereka semua," katanya.


PELAJAR yang paling takut pada awal latihan menjadi paling berjaya dalam aktiviti menyelam.

Keunikan hidupan dasar laut

Pengalaman trauma dan takut yang pernah menyisihkan Nurul Azlifah daripada sukan air membawa beliau memahami dunia psikologi manusia.

Beliau yang memiliki kemahiran dan latihan menerusi Persatuan Profesional Pengajar Menyelam (PADI) dalam pelbagai skop, berkata beliau lebih gemar mendekati mereka yang memiliki ketakutan paling optimum.

"Ini kerana saya melihat sendiri, mereka yang paling takut pada awal latihan adalah mereka yang paling berjaya dalam bidang ini. Pengalaman saya, ada pelajar yang takut, tetapi dia berjaya melepasi pelbagai latihan profesional dengan lebih mudah.

"Apa yang penting adalah minat. Jika saya boleh, anda pasti boleh. Jika ada yang dipaksa ibu bapa sekalipun, mereka akan pulang dengan ilmu, kemahiran menyelam dan pastinya keseronokan menjelajah dasar laut.

"Saya tertarik dan berminat untuk bermain ping pong dalam air dan menari. Pelajar yang mengikuti aktiviti itu berasa seronok, selain dapat menikmati alam dasar laut kerana menganggap umpama berada di angkasa," katanya.

Dunia laut penuh kerjasama

Katanya, ketika berada dalam air, bukan sekadar menikmati keindahan hidupan laut tetapi membawa pengertian lebih jauh.

"Saya melihat seekor ikan berkawan dengan udang. Ini kisah benar. Walaupun berlainan spesies, mereka saling bantu-membantu. Ketika udang membantu ikan itu mengorek lubang untuk habitatnya, datang seekor ikan besar menyerang udang itu. Tidak sangka ikan bersaiz kecil itu menolak udang dalam lubang dikorek itu bagi menyelamatkannya.

"Inilah antara pengalaman unik yang kita tidak ketahui. Selain dapat menikmati indahnya alam, kita dapat belajar tabiat hidupan laut memupuk nilai murni. Keadaan itu juga menjadikan kita rasa lebih menghargai dan tidak mahu mengganggu spesies laut dan ekosistem secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata, kegagalan memulihara alam laut, mungkin kejadian buruk boleh berlaku. Karang laut umpama tebing kepada ombak yang boleh menjadi benteng kepada sebarang kejadian ombak besar.

"Kira-kira 70 peratus permukaan alam adalah laut. Jadi kita perlu memeliharanya untuk kepentingan generasi akan datang," katanya.

Berita Harian X