Sabtu, 9 Mei 2015 | 7:42am

Buku tulisan profesional masih kurang

SATU ciri graduan yang akan dilahirkan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) (Pendidikan Tinggi) PPPM (PT) ialah yang mempunyai kemahiran, mampu memasarkan diri dan mencipta pekerjaan.

Ini bermakna mereka bukan lagi golongan yang mengharapkan pekerjaan datang bergolek, ibarat 'bulan jatuh ke riba'.

Ilmu yang dipelajari ketika di universiti adalah sekadar bekalan asas untuk membolehkan mereka menempa kejayaan dalam bidang lebih menguntungkan. Pekerjaan yang mereka peroleh mungkin tiada kaitan dengan bidang yang dipelajari di universiti. Keadaan ini mungkin berlaku disebabkan keghairahan untuk mendapatkan pekerjaan. Setiap graduan akan menerima apa juga tawaran pekerjaan sebaik tamat pengajian walaupun tiada kaitan dengan bidang pengajian.

Pilihan pekerjaan

Ramai graduan belum mendapat pekerjaan sesuai tidak ada kena mengena dengan salah padan antara bidang pengajian dan pekerjaan tetapi adalah suatu pilihan. Bagi yang tidak memilih, mereka cepat keluar daripada alam pengangguran. Jika mereka ada kemahiran, pekerjaan awal itu akan dijadikan asas untuk mereka cipta kejayaan baharu.

Keadaan ini hanya akan berlaku jika graduan ada kemampuan holistik dan serba boleh. Mereka adalah daripada golongan kreatif yang mempunyai daya cipta tinggi seperti direncanakan mengikut PPPM (PT). Universiti tidak boleh selama-lamanya jadi 'kilang' mengeluarkan pekerja kerana fungsi universiti adalah menyediakan graduan berilmu dan mempunyai semangat daya saing tinggi.

Graduan dalam bidang perubatan tidak semestinya menjadi doktor, graduan perakaunan tidak semestinya menjadi akauntan, graduan undang-undang tidak semestinya menjadi peguam, graduan senibina tidak semestinya menjadi arkitek dan sebagainya. Mereka boleh terbabit dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan pengajian.

Graduan kejuruteraan tidak semestinya menjadi jurutera tetapi menjadi pengimport bahan kejuruteraan, seorang graduan perubatan tidak menjadi doktor tetapi membuka farmasi atau membuka makmal memproses ubat-ubatan, seorang graduan pertanian mungkin menjadi pembekal baja dan sebagainya.

Sudah banyak contoh kejayaan rakyat negara ini yang terbabit dalam bidang tertentu sama ada yang berkaitan atau tidak berkaitan dengan bidang pengajian di universiti.

Beberapa tahun akan datang, peluang untuk mendapatkan pekerjaan mungkin menjadi cabaran kepada ramai graduan. Dengan 20 universiti awam dan puluhan kolej dan universiti swasta, bermakna lebih ramai graduan setiap tahun.

Apa yang dibimbangkan peluang pekerjaan yang terhad. Tanpa menentukan arah masa depan, ramai graduan akan menganggur. Kadar pengangguran tinggi khasnya graduan akan menimbulkan suasana tidak sihat.

Graduan serba boleh

Graduan yang serba boleh sangat diperlukan untuk mereka membebaskan diri daripada kepompong pergantungan kepada pekerjaan tradisi mengikut kelulusan pengajian masing-masing.

Satu bidang yang boleh diceburi mereka ialah bidang penulisan. Tidak kira sama ada mereka mengambil bidang kejuruteraan aeroangkasa sehinggalah kepada sains politik, mereka boleh menjadi penulis. Menjadi penulis bukan hak mutlak graduan bidang komunikasi dan media semata-mata. Bidang penulisan sesuai untuk apa juga bidang pengajian.

Dalam dunia penulisan dan kewartawanan, wujud kekurangan penulis pakar dalam bidang kritikal dan baru di negara ini. Apabila berlaku tragedi pesawat MH370, wujud kesedaran betapa kurangnya penulis pakar dalam bidang penerbangan awam, kejuruteraan yang membabitkan pesawat udara dan bidang berkaitan.

Walaupun ramai yang mahir atau pakar dalam bidang berkenaan, mereka bukanlah penulis. Mereka hanya memberi pandangan atau ulasan kepada media mengenai ilmu yang ada. Ketika di universiti, mereka belajar dalam bidang berkenaan sekadar mahu mendapatkan pekerjaan. Selepas menjawat jawatan berpandukan kepada kelulusan pengajian, mereka bekerja mengikut tugasan yang diberikan.

Seorang doktor tidak sepanjang masa merawat pesakit di hospital. Mereka boleh berkongsi maklumat mengenai penyakit dan ilmu kedoktoran menerusi penulisan. Tulisan seorang doktor atau pakar perubatan mengenai penyakit atau bidang perubatan lebih dipercayai daripada seseorang yang tiada latar belakang bidang perubatan. Di Malaysia, banyak ilmu tidak dapat dikongsi ramai kerana tidak didokumenkan untuk dijadikan bahan bacaan umum.

Berbeza dengan di negara maju, budaya penulisan mereka sangat tinggi. Apa juga bahan yang difikirkan sesuai untuk dibukukan, mereka mengambil daya usaha membukukannya.

Jika tidak ramai penulis yang berminat menulis buku fiksyen khasnya novel, buku agama dan bahan bacaan ringan, negara ini ketandusan buku tulisan rakyat tempatan. Sebagai negara yang bakal menempa nama sebagai negara maju, Malaysia perlukan ramai penulis buku yang bermutu, penuh dengan ilmu dan fakta.

Berita Harian X