Sabtu, 9 Mei 2015 | 12:08am

Rendang Tok

RENDANG Tok oleh Cef Muhammad Arif's di Grand Bluewave Hotel Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
RENDANG Tok oleh Cef Muhammad Arif's di Grand Bluewave Hotel Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Rendang Tok, namanya selalu meniti di bibir penggemar selera tradisional. Ia cukup terkenal di Perak dan kini populariti makanan itu sudah menjalar di seluruh negara.

   Hidangan masakan Melayu ini dikatakan berasal dari Kampung Pisang Batu Gajah, Perak yang kemudiannya tersebar ke kebanyakan daerah di Perak.

   Tanpa perasa tiruan dan bahan pengawet, rasa rendang Tok cukup diminati pelbagai kaum di negara ini.

   Lebih unik lagi, rendang Tok ini masih disediakan secara tradisional iaitu dimasak atas dapur kayu di kampung ketika kenduri-kendara dan secara bergotong-royong.

   Nama rendang ini dikatakan diambil sempena orang tua yang memasak sajian itu suatu ketika dulu.

Kaedah masakan juga berbeza kerana dimasak dalam tempoh cukup lama, dikacau sehingga kering dan bertukar menjadi warna hitam.

Hidangan rakyat jelata

Jika dulu rendang Tok hanya boleh dinikmati oleh kerabat diraja dan orang kenamaan, kini ia menjadi hidangan untuk segenap lapisan. Ia sarat pelbagai rasa, pedas dan manis membuatkan penggemarnya menjadikan hidangan ini bukan saja dapat dirasai pada pagi Syawal, tetapi pada hari biasa.

   Malah, hotel terkemuka, restoran dan gerai makan turut menyajikan hidangan ini kepada pengunjung.

   Begitu juga majlis kenduri kahwin yang kebanyakannya turut menyajikan rendang istimewa ini.

Daging lembu atau kerbau

Jika mengikut resipi asal, rendang ini menggunakan daging kerbau yang lebih berurat, enak, manis dan serasi dengan ramuan rendang.

   Bagaimanapun, kini rendang ini lebih banyak menggunakan daging lembu yang mudah didapati.

Daging kerbau digunakan kerana ia lebih mengangkat makanan tradisional ini sebagai menu yang mempunyai darjat tersendiri. Antara bahan pelengkap rasa hidangan ini adalah santan, lada, bawang, daun kunyit, daun limau purut dan kerisik.

BAHAN-BAHAN yang diperlukan untuk membuat Rendang Tok. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
BAHAN-BAHAN yang diperlukan untuk membuat Rendang Tok. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Ia dihidangkan bersama lemang, nasi, pulut kuning, ketupat nasi, ketupat palas, roti atau boleh diratah begitu saja. Istimewanya, rendang ini tidak mudah basi kerana santan dan ramuan lain dimasak sehingga berjam lamanya.

Air tangan cef

Bagi Cef Junior Sous dari Hotel Grand Blue Wave Shah Alam, Muhammad Arif Muhammad Amin, berkata daging batang pinang adalah pilihan terbaik untuk masakan jenis ini.

CEF Muhammad Arif.
CEF Muhammad Arif.

   Katanya, ini kerana ia cepat empuk dan rasanya cukup manis berbanding daging lain.

   "Memasak hidangan ini memerlukan kesabaran kerana memerlukan masa lama, tetapi rasanya cukup berbaloi. Jika teringin hidangan ini, anda boleh mengunjungi hotel kami. Rasanya istimewa dan sedikit berbeza daripada yang sedia ada," katanya.

BAHAN:

ANTARA bahan-bahan yang digunakan untuk membuat Rendang Tok. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
ANTARA bahan-bahan yang digunakan untuk membuat Rendang Tok. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Bahan A

Bahan perlu dikisar.

100 gram (g) bawang merah

50g bawang putih

50g halia

100g cili giling

50g lengkuas

Bahan B

(Bahan dikisar, kemudian digoreng tanpa minyak)

20g bunga lawang

20g bunga cengkih

20g buah pelaga

10g jintan manis (biji)

10g jintan putih (biji)

10g biji ketumbar

Bahan C

1 kilogram daging batang pinang

3 batang serai (dititik)

10g daun kunyit

100g kerisik

2g santan

150g minyak sapi

100g gula merah

Cara masak:

1. Tumiskan semua bahan A.

2. Masukkan daging ke dalam bahan tumis yang sudah naik bau.

3. Gaul daging dan bahan tumis sehingga sebati dan meresap. Kacau.

4. Masukkan pula semua bahan B. Kacau rata.

5. Selepas daging separuh masak, masukkan santan secukupnya dan masukkan garam secukup rasa.

RENDANG Tok oleh Cef Muhammad Arif's di Grand Bluewave Hotel Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
RENDANG Tok oleh Cef Muhammad Arif's di Grand Bluewave Hotel Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

6. Masukkan daun kunyit sebagai penambah aroma rendang

CEF Muhammad Arif.
CEF Muhammad Arif.

7. Siap dihidang untuk dimakan. Selamat mencuba.

Berita Harian X