Jumaat, 8 Mei 2015 | 7:51am

PBAKL perlu pelbagaikan aktiviti pikat cita rasa peminat buku

SATU daripada acara yang sentiasa saya tunggu setiap tahun ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Pesta itu memberi peluang kepada saya meninjau, membelek dan membeli buku yang saya minati, tanpa perlu membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk pergi dari suatu tempat ke suatu tempat lain, kerana pesta itu menghimpunkan ratusan syarikat penerbitan buku di bawah satu bumbung.

Bagi yang gilakan buku, pesta buku memberi kenikmatan dan keseronokan luar biasa kepada mereka. Mereka sentiasa berusaha mendapatkan judul buku terkini.

Sambutan terhadap PBAKL sentiasa meningkat. PBAKL 2014 menerima lebih 2.4 juta pengunjung, berbanding PBAKL 2013 seramai 1.8 juta pengunjung, dan PBAKL 2012 seramai 1.6 juta pengunjung. Peningkatan jumlah pengunjung adalah satu berita baik kepada dunia perbukuan di negara ini, sekali gus kita berharap masih ada sinar di hujung terowong untuk dunia perbukuan di negara ini.

Saya dapati kebanyakan pengunjungnya ialah orang Melayu. Mengapakah orang Cina dan India kurang mengunjungi PBAKL? Saya kurang pasti, berapa banyak peminat buku dari Sabah dan Sarawak mengunjungi PBAKL, disebabkan kos penerbangan yang agak tinggi?

Pesta yang dianjurkan perlu mempelbagaikan aktivitinya. Ketika mengunjungi Pesta Buku di Bangkok beberapa tahun lalu, saya dapati aktiviti yang pelbagai dan dapat memenuhi cita rasa pelbagai golongan pengunjung, menyebabkan pesta itu sentiasa mendapat sambutan hangat.

Pamer buku terbaru

Satu daripada pendekatan yang digunakan adalah dengan mempamerkan buku terbaharu dalam bahasa Thai yang diminati oleh Perdana Menteri Thailand ketika itu. Mengapa tidak kita pamerkan buku terbaharu dalam bahasa Melayu yang diminati Datuk Seri Najib Razak sebagai satu strategi untuk menggalakkan orang ramai membeli buku berkenaan? Yang penting, pihak penganjur perlu mengunjungi sekurang-kurangnya 15 pesta buku ternama dunia dan meminjam aktiviti yang menarik untuk diperkenalkan dalam PBAKL. Itu adalah jalan terbaik bagi menjamin PBAKL terus mendapat sambutan hangat pengunjung.

Seperti Korea Selatan, Jepun dan Indonesia, buku terjemahan turut menjadi daya tarikan pada pesta di Bangkok. Sebaliknya, buku terjemahan tidak begitu banyak diusahakan di negara ini. Adakah kerana penguasaan bahasa Inggeris yang lebih tinggi di negara kita? Atau penerbit kita memang tidak berminat menerbitkan buku terjemahan kerana kos penerbitannya mahal?

Melalui PBAKL kita berharap jumlah pembaca dan penulis buku terus meningkat. Adakah jumlah penulis kita sudah cukup banyak? Adakah mereka menulis buku yang menepati keperluan dan cita rasa rakyat negara ini? Adakah minat membaca terus meningkat selari dengan peningkatan jumlah pengunjung pesta berkenaan?

Penghasilan karya yang mencukupi dan relevan penting untuk bukan sahaja menjana kreativiti rakyat, tetapi menganjakkan pembangunan negara, dalam pelbagai bidang.

Rakyat mengunjungi pesta buku kerana ingin mendapatkan buku yang sesuai dengan minat dan keperluan mereka. Bagi pelajar, ini adalah peluang terbaik untuk mendapatkan buku rujukan, manakala bagi peminat karya kreatif, ia adalah kesempatan terbaik untuk mengumpul novel terbaharu karya novelis yang diminati.

Pengunjung tegar, tentu kecewa jika melihat kebanyakan judul dipamerkan ialah judul yang pernah dipamerkan pada tahun sebelumnya.

Kagum industri perbukuan di Korea Selatan

Ketika mengunjungi Korea Selatanpada 2014, saya turut kagum dengan perkembangan industri perbukuannya. Korea berada pada kedudukan kesembilan di dunia, dengan menerbitkan 45,000 judul buku setahun. Korea Selatan dengan penduduk 51 juta memiliki 1,800 kedai buku dan 820 buah perpustakaan adalah sebuah negara yang begitu cergas dalam penerbitan buku. Jika di negara kita, buku yang menguasai rak di kedai buku ternama dan besar ialah buku dalam bahasa Inggeris, di Korea Selatan kisahnya lain.

Kita perlu belajar daripada pengalaman Korea Selatan , Thailand, Jepun, malah Indonesia. Sesiapa yang pernah ke Seoul, Jakarta, Bangkok, dan Tokyo tentu sedar bahawa buku dalam bahasa kebangsaan negara berkenaan mendominasi pasaran.

Bagi memastikan buku yang diterbitkan mampu menyumbang kepada keperluan masyarakat dan negara, kita hendaklah memastikan tajuk berkenaan mengambil kira kepentingan dan keperluan pembaca dan negara. Tajuk diterbitkan perlu lebih pelbagai bagi menampung keperluan pelbagai peringkat masyarakat dan minat yang pelbagai.

Penerbitan buku profesional dan buku ilmiah dalam pelbagai disiplin ilmu perlu diperbanyak bagi rujukan dan kegunaan pelajar dan golongan profesional terbabit. Buku umum, buku rujukan teknikal dan saintifik, buku agama, biografi, sejarah, buku kanak-kanak dan seumpamanya terutama dalam bahasa Melayu perlu terus diperbanyak dan dipamerkan di PBAKL.

Meskipun sesetengah pihak meragui masa depan buku, saya yakin buku tidak akan mati. Masih ada masa depan untuk buku asalkan kita dapat memenuhi cita rasa pembaca.

Kita juga perlu berusaha untuk meningkatkan kualiti pembikinan buku, termasuk dari segi pembinaan dan pemberian judul, kulit buku, gaya persembahan dan penulisan dan mutu percetakannya. Bagi kaki buku, buku adalah teman yang tidak pernah bosan. Buku yang baik menyuntik idea, kreativiti, ilmu dan pengalaman baharu kepada mereka yang dahagakannya.

Buku yang baik menyebabkan pembaca sentiasa menjejaki dan mencarinya termasuk di pesta buku di pelbagai kota.

Penulis ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Berita Harian X