Khamis, 7 Mei 2015 | 6:51pm

58 Serindit, seekor Bayan Puling dirampas

ANGGOTA Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), menunjukkan burung yang dirampas pihaknya. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan
ANGGOTA Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), menunjukkan burung yang dirampas pihaknya. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

SEREMBAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, merampas 59 ekor spesies burung yang dilindungi bernilai RM18,000 di sebuah rumah di Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson, pagi tadi.

Pengarah PERHILITAN negeri, Wan Mat Wan Harun, berkata hasil maklumat orang awam, empat anggotanya dihantar untuk melakukan pemeriksaan di rumah itu yang diduduki sepasang suami isteri.

Hasil pemeriksaan menemui seekor burung Bayan Puling dan 58 ekor Serindit yang diletakkan dalam sangkar di hadapan dan belakang rumah.

"Semua burung berkenaan dirampas manakala seorang wanita berusia 47 tahun yang dipercayai pemilik haiwan ditahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar tanpa lesen dan permit yang sah.

"Siasatan awal mendapati burung berkenaan ditangkap di sekitar Port Dickson dan Tampin dan ia dipercayai untuk dijual kepada kedai burung atau individu," katanya di sini, hari ini.

Burung Serindit dan Bayan Puling dikategorikan sebagai hidupan liar dilindungi dan hidupan liar dilindungi sepenuhnya.

Berita Harian X