Khamis, 7 Mei 2015 | 12:02am

Boleh hadiah terjemahan al-Quran tarik bukan Muslim

SOALAN: Bolehkah terjemahan al-Quran dihadiahkan kepada golongan bukan Islam yang ingin mempelajari mengenai al-Quran dan Islam?

Jawapan: Islam agama yang mementingkan kepada keikhlasan dalam mengamalkan segala arahan dan meninggalkan segala larangan. Bagi umat Islam, mereka akan mendapat pahala atas perbuatan itu, manakala bagi golongan bukan Islam, mereka dibenarkan untuk mempelajari Islam selama mana yang diinginkan.

Tiada istilah paksaan dalam Islam untuk golongan bukan Muslim menerima Islam. Mereka berhak memilih agama ini jika mereka sudah benar-benar bersedia menerima segala arahan dan meninggalkan larangan dalam Islam.

Firman Allah SWT bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata akan kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan tidak akan putus. (Ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Al-Quran diturunkan sebagai hidayah bagi mereka yang menginginkannya dengan ikhlas. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi penasihat dan pengajaran dari Tuhan kamu, ia menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dadamu, ia juga menjadi hidayah dan petunjuk untuk keselamatan bagi membawa rahmat kepada orang beriman." (Surah Yunus, ayat 57)

Berasaskan kepada ayat itu, maka tidak salah bahkan dibenarkan jika ada umat Islam yang ingin berdakwah menerusi kaedah menghadiahkan al-Quran terjemahan kepada sahabat bukan Islam.

Namun, perbuatan itu mestilah menepati beberapa syarat supaya kesucian Islam tidak tercalar akibat sikap golongan yang tidak menghormati kesucian Kalamullah dan Islam.

Syarat yang dimaksudkan ialah diyakini bahawa orang bukan Islam itu memang benar-benar ikhlas mempelajari dan mendalami ajaran Islam sebelum membuat keputusan untuk memeluk agama Islam.

Diyakini orang bukan Islam itu tidak akan menghina kitab suci al-Quran dengan cara yang tidak sepatutnya seperti meletakkannya di tempat tidak sewajarnya, menconteng, menjadikannya sebagai bahan lawak atau sindiran dan sebagainya.

Memaklumkan kepada penerima terjemahan al-Quran bahawa penggunaannya mestilah dalam keadaan sopan dan berakhlak. Niat pemberian mestilah untuk dakwah dan bukan memaksa seseorang yang bukan Muslim menerima Islam secara paksaan.

Pilih surah beri kesan negatif

SOALAN: Isteri saya sedang mengandung. Jadi, saya dinasihatkan oleh rakan yang lebih berumur menggalakkan isteri mengamalkan dua surah penting untuk wanita mengandung dalam al-Quran iaitu surah Yusuf dan Maryam. Surah Yusof boleh menyebabkan anak kita itu menjadi cantik dan kacak bagaikan Nabi Yusof, manakala surah Maryam bertujuan memudahkan ibu mengandung bersalin bagaikan ketika Maryam melahirkan Nabi Isa AS. Adakah dakwaan itu benar?

Untuk pengetahuan saudara, semua surah dan ayat dalam al-Quran adalah terbaik untuk diamalkan oleh umat Islam. Tiada sebarang dalil sama ada daripada al-Quran dan sunah yang menjelaskan bahawa dua surah dimaksudkan itu terbaik untuk diamalkan oleh ibu mengandung.

Lebih bahaya lagi apabila terdapat golongan yang pandai-pandai mengkhususkan keistimewaan tertentu terhadap surah Yusof dan Maryam seperti cantik atau mudah bersalin apabila dua surah berkenaan dibaca oleh ibu mengandung.

Pengkhususan seperti ini sebenarnya memberi impak negatif kepada umat Islam atas beberapa sebab. Pertama, ia akan menyebabkan umat Islam terpengaruh kepada perkara khurafat yang langsung tiada asas daripada al-Quran dan al-sunah berhubung keistimewaan anak cantik atau mudah bersalin.

Kedua, ia akan menyebabkan sebahagian umat Islam menuduh al-Quran sebagai penipu atau menyalahkan al-Quran apabila anak lahir tidak seperti sifat yang dihajati.

Ketiga, ia mendidik sifat malas dalam diri umat Islam untuk membaca keseluruhan al-Quran kerana mereka akan membaca surah atau ayat tertentu sahaja bagi mengejar keistimewaan yang didakwa memberi kesan kepada isteri serta anak mereka. Ia sama sekali bercanggah dengan kehendak Islam.

Sehubungan itu, ingin saya tegaskan bahawa al-Quran dituntut untuk dibaca keseluruhan surah yang terdapat di dalamnya. Ia perlu dibaca dan dihayati bermula daripada surah al-Fatihah hingga surah al-Nas.

Percayalah, sesiapa yang membacanya untuk mendapat keredaan Allah SWT, mereka akan diberkati hidup di dunia dan akhirat. Lebih menggembirakan lagi, apabila setiap ayat dibaca daripada al-Quran akan datang di akhirat kelak sebagai syafaat untuk memasuki syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Sabda Nabi SAW: "Puasa dan al-Quran akan datang menjadi syafaat kepada manusia di akhirat kelak. Puasa akan berkata: Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah melarang orang ini daripada makan dan minum di waktu siang, jadikanlah aku (puasa) sebagai syafaat untuknya.

Berkata pula al-Quran: Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah melarang orang ini daripada tidur di waktu malam (untuk membaca al-Quran), jadikanlah aku (al-Quran) sebagai pemberi syafaat untuknya. Lantas Allah menerima keduanya menjadi syafaat kepada tuannya." (Riwayat Ahmad, darjat hadis hasan)

Berasaskan kepada hadis ini, maka semua yang bergelar Muslim dan Muslimah perlu membaca al-Quran sebanyak mungkin.

Tidak perlu memilih surah tertentu kecuali yang memang sah terdapat riwayat daripada Nabi SAW akan kelebihan membacanya seperti surah al-Kahfi, al-Mulk dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, membaca keseluruhan surah yang terkandung dalam al-Quran adalah yang terbaik dan Insya-Allah ia akan memberi kesan positif kepada kita di dunia serta akhirat.

Berita Harian X